29 September 2008

Bulan Itu Bulan Yang Memudahkan


KMPh diselimuti malamNya

Lewat malam itu aku dengar ketukan pintu bilik. Cahaya bilik suram, tanda penghuni sepatutnya tidur, paling tidak bermalasan atas katil. Ah, ketukan itu pasti dia, moga malam ini ada rezeki buat aku dan teman sebilik.

Pintu kami kuak dengan gembira. Benar, Zu, memang dia. 'Nah nasik lebih'. Kagum aku pada kesungguhannya, berniaga pada malam yang amat selesa untuk menelaah. Bungkus-bungkus nasi kami sambut dengan penuh suka. Bismillah, mula iftar dan pra sahur kami berempat. Aku, Syud, Tiki dan Rima si gadis orang Asli yang baik 'Melayu'nya.

Malam itu aku bangun dengan penuh cinta. Untung sungguh, surau benar-benar dihadapan bilik ku. Tanpa perlu menjejak koridor, aku langkah terus masuk ke perut rumahNya. Malam itu seperti malam-malam biasa bulan ini. Malam untuk bercanda melafaz cinta, hanya aku dan Dia.

Usai subuh ku ambil kitab suci. Kucup penuh ta'zim. Targetku mahu habiskan bacaannya bulan ini. Kalau benar, satu rekod baru buat aku yang selama ini sesat dengan fatamorgana. Ku belek tanda, ya, rekodku amat baik. Bulan ini cukup mudah. Lagi-lagi selepas fenomena Ayat-ayat Cinta, membaca kalamNya dimana-mana sudah menjadi budaya. Kadang menunggu sang pengerusi memulakan acarapun, aku dan Salihah sempat berlumba membaca.

Makan tengahari yang tiada, amat mendamaikan jiwa. Kalau tak, orang asyik bertanya 'Kenapa tak makan? Diet?'. Sahabatku mengerti, tapi tak mungkin aku tegar untuk menjadi tempat dia beramal mulia. Jika tidak, sekeping roti pengalas lapar akan dipandang hina. Tapi bulan ini bulan yang mendamaikan. Tengahari itu kami bersama mengisi rohani.

Ah, sungguh, damainya hari-hari yang dilewati.

Pabila petang mula menyinggah, yang lelaki sibuk membeli juadah. Kami hanya akan menanti di tangga masjid, menunggu arahan andai mereka perlukan dulang tambahan. Sana-sini dicelah rak Al Quran ada yang sedang berbicara sendirian, meneliti kata-kata dari Tuhan.


Kami akan beratur dikaki tangga, ada juga yang berlari-lari memakai sarung kaki untuk turut serta mengangkut dulang dibawah. Biar badan letih, tapi masing-masing berlumba beramal.

Bisik-bisik mula kedengaran, siapa imam malam ini? Ah, Rozi, pemuda yang lunak suaranya. Lembut jiwa mendengar dia mengalun pesan Sang Pencipta. Ruang masjid terasa bahang kerana penuh dengan mereka yang ingin mengaut pahala. Biar begitu, kamilah yang paling sukacita. Selama ini lantai masjid hanya dipenuhi oleh serangga, tapi kini oleh sang hamba.

Ah, indahnya bulan ini ya Illahi! Kenapa tidak Kau lanjutkan saja ia ke 11 bulan yang seterusnya?

Penghujungnya tetap tiba. Sang cinta merintih hiba, kerana tiada lagi yang seumpama ini, entah akan berjumpa kembali entah tidak.


27 Ramadhan 1427
Kolej Matrikulasi Pahang
Ramadhan ku yang pertama
Sejak diri ini diterima semula olehNya