30 August 2007

GAMIS Gesa Perkasakan Lelaki Demi Menjamin Kestabilan Negara

Oleh Mohd Dzulkhairi Mohd Noor
Presiden GAMIS

Rentetan daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi MARA , Profesor Dato’ Seri Dr Ibrahim Abu Shah bahawa kaum lelaki mungkin akan terpaksa ke dapur menjadi suri rumah pada masa akan datang jika fenomena kaum perempuan dibiarkan terus menguasai institusi pengajian tinggi, telah menerima sambutan pendapat yang begitu hangat , bukan sekadar di kalangan para ahli akademik, malah ahli politik dan orang ramai juga turut berkongsi pandangan dalam memberi respon menurut kaca mata masing-masing.

Berdasarkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, nisbah antara pelajar lelaki dan perempuan di semua IPT seluruh negara kini adalah 40:60. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat , Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil menganggap isu ini sebagai satu pembangunan yang sihat manakala Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali pula berpendapat , institusi kekeluargaan boleh menuju ke arah kepincangan. Masyarakat awam rata-ratanya membalas dengan pelbagai reaksi berbeza dalam menyatakan kebimbangan mereka seandainya, pandangan daripada Naib Canselor UiTM ini menjadi realiti.


Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) melihat isu ini bukan sekadar wajarkah lelaki menjadi suri rumah ataupun tidak. Persoalan yang lebih penting yang harus difikirkan bersama adalah bagaimana kita mahu memperkasakan kembali kaum lelaki yang semakin pupus di negara ini.Pemerkasaan ini bukan sekadar mengelakkan lelaki dari benar-benar menjadi suri atau penyeri rumah bagi isteri yang bekerja, tetapi lebih kepada pemerkasaan kualiti dan jatidiri sebagai seorang yang benar-benar ‘anak jantan’ semenjak dari bangku sekolah, universiti sehingga ke alam pekerjaan.

Kita tidak menafikan keterlibatan kaum wanita dalam menyumbang ke arah pembangunan negara, namun harus difikirkan seandainya kaum lelaki dibiarkan hanyut dalam mimpi-mimpi mereka, kita khuatir bagaimana masa depan negara yang bakal tercorak. Bayangkan, seandainya pemerkasaan ini tidak dilakukan, sudah semestinya isu andartu dan suri rumah lelaki benar-benar menjadi realiti. Bolehkah kita memberi jaminan bahawa dengan kurangnya lelaki berkualiti untuk memacu kegemilangan negara, kestabilan negara mampu dikekalkan?

Acapkali kita dihidangkan di dada akhbar sejak akhir-akhir ini mengenai isu masalah sosial yang melibatkan pelajar lelaki di bangku sekolah. Ini sekaligus memberi jawapan kepada kita mengenai ke manakah hilangnya kaum lelaki sebelum menjejakkan kaki ke tangga universiti.

Gejala buli, kes juvana, penagihan dadah, pil ecstacy dan syahbu, hisap gam, gangsterisme dan banyak lagi adalah antara faktor mengapa semakin kurang kaum lelaki melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi. Terkandasnya mereka di pertengahan jalan dek kerana masalah yang terbelenggu di waktu usia masih muda adalah merupakan punca utama mengapa kes ini berlaku.

Ironinya, satu pelan tindakan ke arah pemerkasaan ini wajar dilaksanakan. Menyoroti sistem pendidikan negara, adalah dicadangkan supaya dilakukan sedikit perubahan terhadap sistem pengajaran guru-guru sekolah, baik guru sekolah rendah mahupun menengah. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Jika di amati, sepanjang 50 tahun kemerdekaan, perubahan ketara dapat dilihat antara pelajar dahulu dan sekarang.

Pelajar dahulu dapat dilihat lebih bersungguh dalam menerapkan pembudayaan menuntut ilmu dengan kesungguhan yang tinggi berbanding dengan pelajar sekarang. Di sini dapat dilihat kurangnya penghayatan para pelajar sekarang terhadap peranan dan tugas mereka untuk belajar demi pembangunan negara pada masa akan datang.

Seandainya di bangku sekolah lagi, kesedaran ini kurang dipupuk di kalangan mereka, minat untuk mendalami ilmu pengetahuan menjadi kurang berbanding mengejar keseronokan di alam persekolahan, maka tidak hairanlah mengapa ramai kaum lelaki yang tidak berminat meneruskan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Penerapan budaya intelektual di kalangan para pelajar haruslah seimbang dengan injuksi pembangunan rohani dan spiritual bagi melahirkan modal insan yang benar-benar cemerlang.

Oleh itu kaedah sistem pendidikan yang digunapakai oleh guru-guru sekarang adalah sangat penting untuk diteliti semula bagi menjana satu pembaharuan terhadap pembudayaan modal insan cemerlang ini.

Disarankan, agar Kementerian Pendidikan mengkaji semula, adakah disebabkan tekanan bebanan kerja yang terlampau banyak ke atas guru-guru sekarang di samping tugas hakiki yang utama yakni mengajar telah menyebabkan objektif utama para pendidik ini untuk mendidik para pelajar mereka dengan sempurna telah terabai sedikit demi sedikit? Atau adakah sistem pembelajaran kini yang lebih berpaksikan ‘exam oriented’ telah menyebabkan , para pelajar sekarang sukar menghayati apa yang dipelajari dan guru-guru terkejar-kejar menghabiskan silibus pembelajaran mereka sehinggakan aspek penting pembinaan jatidiri pelajar sedikit terabai? Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan pada tahun 1988, pernah mengutarakan beberapa isu penting mengenai permasalahan pendidikan ini yang difikir wajar untuk kita teliti kembali.

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu utuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkn kepercayaan dan kepatuhan kpd Tuhan . Usaha ini adalah bagi melahirkn rakyat malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan , berakhlak mulia , bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Isu pertama yang perlu kita kaji melibatkan penyataan Falsafah Matlamat Pendidikan Negara yang biasanya disebut Falsafah Pendidikan sahaja. Walaupun kita mempunyai penyataan matlamat pendidikan di sana sini, tetapi kita mestilah menyatakan matlamat-matlamat itu dalam satu penyataan falsafah yang menyeluruh dan berhubungan dengan penyataan matlamat negara. Dengan berpandukan falsafah itu kita perlu pula mencari strategi yang sesuai bagi merealisasikan hasrat falsafah tersebut untuk melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis.

Falsafah Pendidikan itu juga menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan kebangsaan kita supaya semua program dan aktiviti pendidikan merupakan pancaran prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam falsafah tersebut.

Selain itu, sehubungan dengan reformasi pendidikan kita ialah pendidikan ke arah membentuk insan. Pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam dan pendidikan moral bertujuan untuk membina masyarakat bertaqwa, berdisiplin dan progresif. Namun begitu, strategi pengajarnya berkesan perlu diadakan supaya nilai –nilai yang hendak diterapkan benar-benar dapat dihayati dan diamalkan. Ini ditegaskan sebagai langkah mengisi kompenen hala cara baru - 'human resource development' - pembangunan insan. Ada dikatakan oleh sesetengah orang bahawa pendidikan itu tidak harus bersifat ' utilitarian ' sahaja - generasi muda tidak dilatih hanya untuk menjadi pekerja.

manusia itu bukan kilang , barangan atau perkakas murahan untuk keperluan sistem dan ideologi. Oleh sebab itu , faktor yang mesti ditekankn ialah pembangunan insan seutuhnya. Faktor insaniah atau akhlak harus dikaitkan dalam Falsafah Pendidikan. Sebelum ini, pendididkan moral dan pendidikan Islam memang telah wujud. Yang dilakukan, terutamanya dalam mta pelajaran pendidikan Islam ialah memperkemaskan dan meningkatkan mutu penghayatan”.


Selain daripada isu pemerkasaan kaum lelaki di peringkat sekolah, GAMIS ingin menarik perhatian umum mengenai persoalan kedua yang dikira penting harus difikirkan bersama iaitu mengapa ramai di kalangan kaum lelaki lepasan sekolah kini kurang berminat untuk melanjutkan pembelajaran mereka di institusi pengajian tinggi.Rata- rata kebanyakan mereka yang ditemui, yang tidak melanjutkan pengajian mereka di IPT memberi alasan faktor minat mereka yang lebih cenderung ke arah program berbentuk kemahiran,yang menurut mereka lagi lebih menjanjikan peluang pekerjaan yang lebih cerah berbanding pengajian teori di pusat pengajian tinggi,.

Malah ada di antara mereka mengatakan tidak mahu membuang masa terus belajar dan mahu bekerja demi menyara kehidupan keluarga, memandangkan sejak mutakhir ini kita sering disogokkan dengan berita lambakan graduan menganggur. Selain daripada itu, ada juga pandangan yang turut mempersoalkan apakah keistimewaan menjadi mahasiswa jika dilihat peranan mereka tidak ubah seperti budak sekolah yang hanya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Mahasiswa dahulu dapat dilihat peranan mereka sebagai jurubicara masyarakat tetapi mahasiswa kini seolah-olah satu komuniti akademik yang terpisah daripada turut terlibat mengepalai perbincangan masalah masyarakat.

Perjuangan mahasiswa suatu ketika dulu sentiasa bersama dengan penderitaan masyarakat bawahan yang miskin. Sebab itulah setiap kali mahasiswa mengadakan demonstrasi terhadap sesuatu isu penderitaan masyarakat sentiasa mendapat sokongan dan dokongan rakyat.

Dua peristiwa terbesar dalam sejarah perjuangan mereka adalah Peristiwa Tasik Utara dan Peristiwa Baling yang berlaku pada penghujung tahun 1974 telah mengakibatkan ramai pemimpin mahasiswa ditangkap dan juga kebebasan berpolitik mahasiswa juga dirampas melalui pindaan AUKU, pada tahun 1975. Justeru kemandoman gerakan mahasiswa sekarang turut menyumbang ke arah isu permasalahan yang dibangkitkan di sini. Adakah ini akan merugikan perkembangan negara di masa akan datang ?

Justifikasi, GAMIS ingin mencadangkan kepada pihak berwajib agar perkara ini diberi perhatian yang lebih teliti, agar kita tidak hanya pandai membincangkan masalah tanpa meninggalkan satu resolusi ke arah penyelesaian yang mantap.Satu badan kajian perlu dibentuk untuk mengkaji permasalahan ini sehingga ke akar umbi yang seterusnya diharapkan akan mampu mencernakan satu pelan tindakan penyelesaian yang lebih efektif dan efisien, berdasarkan fakta yang tepat .Kita tidak mahu, oleh kerana kelalaian kita memandang isu pemerkasaan kaum lelaki ini sebagai satu isu yang enteng, maka kita secara tidak sedar meletakkan masa depan negara dalam kondisi yang bahaya pada masa akan datang.

Harus diingat, ketidakstabilan pengukuhan peranan gender dalam memangkin pembangunan negara mampu mengganggugugat produktiviti dan kecemerlangan pambangunan negara itu sendiri. Kita tidak mahu kestabilan negara ini hanya mampu bertahan sekadar 50 sehingga 60 tahun sahaja, tetapi cemerlang, gemilang dan terbilang buat selama-lamanya.

21 August 2007

Bahasa Intan Bahasa Kaca



Ust, sy cdgkan spy ut tulis artikel ttg Badi’zman Said Annursi!”, email seorang pembaca kepada saya.

Sy harap ust dpt update blog ust dgn lbh krp lagi sbb hari2 sy buka n baca”, tulis seorang pembaca di shoutbox blog saya.

Sukar untuk saya nafikan, bahawa hati saya akan terus tertutup rapat apabila menerima email atau apa-apa pesanan seperti ini. Secara spontan saya akan sinis dan ‘menyampah’ untuk melayan apa sahaja permintaan yang datang dalam bahasa yang ditulis sedemikian rupa.

“Abang obses sangat sebenarnya”, kata isteri saya.

“Mungkin… tetapi adakah sesiapa yang suka dengan benda seperti ini?”, saya cuba mempertahankan pendirian.

“Suka tu tidaklah sampai suka. Tetapi boleh bertolak ansur”, sambung isteri saya lagi.

Menulis dan mengeja dengan betul dan cermat adalah sesuatu yang amat saya tekankan. Bahasa saya bukanlah bahasa tinggi, tetapi saya tidak suka berbahasa rendah, pada ejaan, ungkapan dan tulisan.

“Nak minta abang betulkan table tu sahaja sebenarnya!”, rungut isteri saya.

Walaupun hanya table sahaja yang bermasalah tetapi saya mesti membetulkan sama alignment perenggan agar justified.

Huruf besar dan huruf kecil, ‘di’ yang didekat atau dijauhkan, adalah ‘tajwid’ asas Bahasa Melayu yang telah saya pelajari semenjak di sekolah rendah, dan saya sukar bertolak ansur untuk membiarkan kesalahan berlaku.

Bagi saya, apabila seseorang itu menulis dengan cermat terhadap ejaan dan tatabahasa, dia menulis dalam keadaan ’sedar’ terhadap apa yang ditulisnya. Lebih bertanggungjawab lagi beradab.

Terkini, saya jadi rimas dengan tulisan-tulisan ala trengkas ini. Saya jadi sy, kenapa jadi knp… jika sesekali tentu sahaja saya tidak kisah. Tetapi jika di seluruh tulisan segala-galanya diringkaskan, saya menjadi rimas.

Jika di SMS, ada rasionalnya. Jumlah karakter yang dihadkan untuk satu SMS, menjadikan setiap huruf itu bernilai.. Tetapi jika ia turut sama mempengaruhi tulisan biasa, saya tidak menyukainya.

Teknologi memang bagus. Kerana ICT, banyak perkara yang dahulunya sukar kini jadi mudah. Khidmat telegram pun sudah pupus kerana adanya SMS.

Tetapi banyak juga benda yang dahulunya indah, kini jadi pudar dan hambar.

TIDAK PANDAI BERBAHASA

Pernah saya terfikir, kenapa generasi muda hari ini tidak pandai berbahasa? Cakapnya kasar, tidak pandai mengambil hati, tulisnya keras ayatnya pedas. Hingga generasi separuh tua seperti saya ini, ramai yang bosan melayan mereka.

Mungkin ia adalah kesan sampingan teknologi. Jika dahulu, kita banyak berinteraksi dengan manusia, tetapi kini banyak yang bersifat virtual, dengan mesin tanpa jiwa dan rasa.

Maka bahasa yang ditulis semakin pudar dari seni dan warna. Membaca tulisan pun sudah seperti ungkapan matematik tanpa perasaan.

“Ahh, buang masa sahaja. Janji mesej sampai”, alasan yang diberi.

Sedangkan manusia masih memiliki naluri yang sama. Suka pada keindahan bahasa, cenderung kepada pengaruh kata-kata.

Mungkin kerana itu, semakin ramai anak muda yang sesat dalam kehidupan hanya kerana terlalu mudah jatuh ke permainan kata-kata. Cukup sekadar disuntik sedikit rasa, terus rabun dari menilai yang mana intan yang mana kaca.

Anda yang memperlekehkan bahasa, akhirnya anda sendiri yang menjadi mangsa permainan kata-kata. Anda menulis bahasa kaca, akhirnya anda sendiri yang terluka.

Saya dari generasi yang berbeza, maka maafkan saya jika semua email yang ditulis dengan ejaan yang caca merba, saya bakul sampahkan sebelum habis membaca.

Berikut adalah reaksi Puan Ainon Mohd. Sifu PTS apabila ada penulis yang menulis di dalam mailing list beliau dengan bahasa caca merba:

Gaya bahasa macam gaya bahasa saudara ini tidak digunakan dalam al-Quran, mahu pun dalam sunnah Nabi Muhammad SAW. Semua ejaan dalam Quran adalah ejaan sempurna, dan Nabi Muhammad tidak bercakap menggunakan bahasa macam bahasa budak belum matang dan rendah taraf pendidikannya.


Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang molek itu budi
Yang indah itu bahasa


ABU SAIF @ http://hasrizal.com

Jelaskan Pada Yang Satu

tulisan ini diolah semula dan ditambah untuk kita sama2 bantu-membantu menjelaskan kefahaman, kenapa kita berada dalam jemaah yang asal, di Malaysia ini.
saya mengikuti kelas Tamadun Islam. Secara tak sengaja, saya mendapat beberapa ilmu yg saya cari untuk kita sama-sama kuatkan keyakinan terhadap jemaah yang diikuti...

"Man awwal fa awwal, wa man akhar, faakhar, wa la nasibalah"

Maksudnya: Siapa yang awal, maka didahulukan, dan siapa yang kemudian, dikemudiankan"

Saya masih mencari sanad hadis ini, tetapi menurut ustaz yang sudah pun bergelar Prof, pakar dalam 58 mazhab, dan phD dalam dua bidang, ini adalah hadis sahih.. Setelah dikaji, dan ikut pengalaman dan pemerhatian, semuanya membenarkan hadis di atas, jemaah yang paling awal ditubuhkan patut dipilih, kerana tampak jelas dipelihara Allah SWT..

Sejarah di Malaysia..

Jemaah telah mula menjadi kata bicara umat muslimin Malaysia sejak sekian lama.. Di Malaysia, kita telah pun mengetahui, Hizbul Muslimin yang ditubuhkan seawal sebelum kemerdekaan lagi, dan telah diharamkan oleh penjajah British daripada terlibat dengan pilihanraya, kerana didapati mempunyai matlamat menubuhkan daulah islamiyah, pada tahun 1948. Kemudian ditubuhkan semula sebagai PAS selepas itu. Pada waktu ini, bagaikan tiada masalah dari segi kepelbagaian jemaah untuk dipilih di peringkat universiti, bagi mahasiswa intelektual yang mempelajari islam dan memahaminya.

Namun pada zaman Anuar Ibrahim, jemaah sokongan dimulakan bagi memberi peluang untuk golongan muda memperjuangkan Islam dengan cara mudanya disamping keadaan PAS yang dilihat lebih kepada semangat kebangsaan.

Masalah bermula..

Masalah bermula apabila Anuar Ibrahim memilih untuk memperjuangkan Islam dengan menyertai UMNO... Islamisasi yang kesannya kini menghina islam semula seperti perempuan bertudung tapi berbaju ketat, berkepit dengan bukan muhrim dan lain-lain..

Tetapi ada juga positifnya seperti ekonomi Islam dan lain-lain, namun masih dijuruskan kpd keuntungan dunia. Angkatan Belia Islam (ABIM) yang ditubuhkan mula mufarraqah (keluar dari kumpulannya) menjadikan ABIM dan PKPIM jemaah yang menentang pula, tapi masih jemaah Islam. ditambah pula selepas itu pengisytiharan Islamic Representative Council (IRC) sebagai pertubuhan rasmi Jemaah Islam Malaysia (JIM). Akhirnya jemaah berpecah tiga. Kini, entah berapa pula jemaah yang ada.

Jesteru, mengikut hukum kita patut pilih yang terawal. Tepuk kesedaran, tanya ilmu.

Masalah timbul...

Ada pula yang mengatakan, metodologi membezakan, jiwa tak kena dengan jemaah dan lain-lain... Mari kita tengok satu persatu.

Situasi di Malaysia

Mereka mempertahankan metodologi, belajar lailahaillallah dan memperkuatkan ukhwah terlebih dahulu. Mereka mendakwa mereka (JIM) paling patut dipilih. Saya dapati, rupanya dalam JIM sendiri berlaku perpecahan, yang akhirnya di'group'kan menjadi KARISMA, ISMA untuk pertahankan perpaduan daripada berpecah..

Jika mereka mempertahankan metodologi mereka, metodologi itu pelbagai, dan ada jemaah lain juga sama, mempertahankan metodologi.
mereka sibuk utk mengikut sebulat2nya ikhwan muslimin, sedangkan ikhwan di mesir sudah lama mengiktiraf kita di malaysia sebagai jemaah utama. bahkan ini dikuatkan dengan bukti, penghantaran beberapa wakil kita dari malaysia dalam perkumpulan wakil2 jmaah islam di seluruh dunia beberapa bulan lepas.

Perkara ini akan terus timbul... 'Ikhwan Alami' berijtihad untuk menguasai PAS, JIM dan lain-lain untuk menyatukan semua, tapi sebenarnya metodologi ini sudah dibincangkan sejak dulu lagi, dan mereka sebenarnya dah memecahkan kpd jemaah yg satu lagi, sedang mereka pun dikatakan merupakan pecahan kepada Hizbut Tahrir (HT).. Pening-pening..

Jadi, atas masalah ni, masyarakat pening, dan banyak juga yang respon, tak mahu masuk campur. Belajar sahaja di universiti lagi bagus... Tak perlu sertai, dan akhirnya wujud mahasiswa dan masyarakat yg tak nak ambil tahu pasal Islam dan turun membantu..

Saya kira jawapan dah lama terjawab, cuma kefahaman manusia ikut kehendak diri. Bukan metodologi, bukan kehendak jiwa yang patut dipilih, tapi pilihlah untuk mengikut sunnah nabi..
Sejarah kepelbagaian jemaah semuanya tercetus di universiti. tidaklah menghairankan, kerna universiti mengandungi mahasiswa yg mmg jika tidak dihalang, merekalah yg mmpercepatkan kelahiran semula ketamadunan Islam untuk yang ke sekian kalinya. penubuhan angkatan belia islam ABIM, (PKPIM dalam kampus) yg pada asalnya menjadi jemaah pendukung lalu termakan sama perangkap egen sekular, kerana pengaruh Anwar Ibrahim yg kuat dalam jmaah tersebut. kesannya, 'ahli2 jemaah islam ketika itu mula terfikir, 'betul jugak, mungkin berjuang dalam lubuk kumpulan sekular boleh mengislah masyarakat, lalu menjayakan plan untuk mendirikan negara islam yang sebenar2nya' maka ramaila yang berubah arah. walaupun sudah lama jmaah ABIM ditubuhkan, perubahan haluan ini umpama melahirkan jemaah baru, kerana Abim kini sudah menawar diri untuk menjadi musuh bagi jemaah islam yang asal. jelasnya, bolehlah dikatakan disini, telah dibeli kerna tertipu.
ulama yang berjuang melalui gerakan jemaah telahpun menggariskan adab dalam berjemaah, bahawa kita tidak buat tindakan sebarangan. dan, Islam tertegak atas kejatuhan jahiliyah, iaitu islam takkan tertegak diatas dengan bertapakkan musuh dibawah. bermaksud, dalam jalan dakwah, kita tidak boleh cemarkan keberkatannya. umpama kita berjalan di jalan dakwah, lalu melemparkan bangkai atau najis yg mencemarkan jalan dakwah, sedangkan jalan dihadapan, memerlukan keberkatan jalan yang sebelumnya. oleh itu, bagi permasalahan ini, tidak boleh sama sekali keluar dari jemaah asal. apatah lagi yang melibatkan perpaduan umat.
selama 16 tahun, jemaah islam berpecah, menyaksikan, bermulanya era baru, dimana JIM pula muncul, dengan mengenetengahkan metodologinya, dan jmah2 lain selepas itu. sedih jika dikenangkan, kerana inilah yang dijadikan oleh musuh kita, kumpulan2 sekular, untuk mempengaruhi masyarakat. sekarang apa yang kita perjuangkan dalam masyarakat, iaitu masyarakat islam sudah nampak kesannya. tapi 'nama'nya dapat pada musuh islam. kumpulan sekular berjaya mengubah topeng untuk survival politiknya. salah kita juga, sebab tertipu, lalu golongan kita juga yang membantu mereka kononnya 'islamisasi' dalam kumpulan sekular. tapi sebenarnya itu semua helah untuk menangguh kemenangan kumpulan jemaah Islam.
sekarang pula, terpecah rahsia, dimana kumpulan sekular ada merancang untuk menggunakan jemaah hizbut tahrir, yang agak agresif dalam tindak-tanduk mereka, untuk menjatuhkan jemaah asal islam. di Malaysia, jemaah asal kita tlh lama bertahan kerana kita merancang. oleh sebab jmaah asal adalah jemaah yang paling awal ditubuhkan, kita banyak pengalaman untuk survival masa depan. keadaan di Malaysia memerlukan kita untuk tidak agresif dalam aspek-aspek tertentu. hal ini penting bukan sahaja untuk survival akan datang, tapi juga untuk mendekati orang yang kita dakwah. kumpulan sekular sudah beberapa kali mencuba untuk menguji kesabaran kita supaya kita bertindak agresif, lalu boleh la mereka melabelkan kita 'pengganas' dan mengambil tindakan undang-undang, seperti pengharaman, dituduh sesat dan lain2. kini, mereka ingin menggunakan jemaah hizbut tahrir supaya akhirnya dapat menghapuskan terus semua jemaah islam di Malaysia, lalu mendirikan semula negara yang sepenuhnya sekular.
akhir kata,
kini bergantunglah kepada Allah SWT yang mencorakkan hati2 ahli jmaah2 semua, agar terus begini atau sebaliknya. pada kita yang masih istiqamah pada jemaah yang asal, jelaskanlah kefahaman akidah kita, mengapa kita memilih untuk duduk sama dalam jemaah Islam asal kita di Malaysia...PAS...