Oleh Mohd Dzulkhairi Mohd Noor
Presiden GAMIS
Rentetan daripada kenyataan yang dikeluarkan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi MARA , Profesor Dato’ Seri Dr Ibrahim Abu Shah bahawa kaum lelaki mungkin akan terpaksa ke dapur menjadi suri rumah pada masa akan datang jika fenomena kaum perempuan dibiarkan terus menguasai institusi pengajian tinggi, telah menerima sambutan pendapat yang begitu hangat , bukan sekadar di kalangan para ahli akademik, malah ahli politik dan orang ramai juga turut berkongsi pandangan dalam memberi respon menurut kaca mata masing-masing.
Berdasarkan kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed, nisbah antara pelajar lelaki dan perempuan di semua IPT seluruh negara kini adalah 40:60. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat , Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil menganggap isu ini sebagai satu pembangunan yang sihat manakala Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Lo’ Lo’ Mohd Ghazali pula berpendapat , institusi kekeluargaan boleh menuju ke arah kepincangan. Masyarakat awam rata-ratanya membalas dengan pelbagai reaksi berbeza dalam menyatakan kebimbangan mereka seandainya, pandangan daripada Naib Canselor UiTM ini menjadi realiti.
Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) melihat isu ini bukan sekadar wajarkah lelaki menjadi suri rumah ataupun tidak. Persoalan yang lebih penting yang harus difikirkan bersama adalah bagaimana kita mahu memperkasakan kembali kaum lelaki yang semakin pupus di negara ini.Pemerkasaan ini bukan sekadar mengelakkan lelaki dari benar-benar menjadi suri atau penyeri rumah bagi isteri yang bekerja, tetapi lebih kepada pemerkasaan kualiti dan jatidiri sebagai seorang yang benar-benar ‘anak jantan’ semenjak dari bangku sekolah, universiti sehingga ke alam pekerjaan.
Kita tidak menafikan keterlibatan kaum wanita dalam menyumbang ke arah pembangunan negara, namun harus difikirkan seandainya kaum lelaki dibiarkan hanyut dalam mimpi-mimpi mereka, kita khuatir bagaimana masa depan negara yang bakal tercorak. Bayangkan, seandainya pemerkasaan ini tidak dilakukan, sudah semestinya isu andartu dan suri rumah lelaki benar-benar menjadi realiti. Bolehkah kita memberi jaminan bahawa dengan kurangnya lelaki berkualiti untuk memacu kegemilangan negara, kestabilan negara mampu dikekalkan?
Acapkali kita dihidangkan di dada akhbar sejak akhir-akhir ini mengenai isu masalah sosial yang melibatkan pelajar lelaki di bangku sekolah. Ini sekaligus memberi jawapan kepada kita mengenai ke manakah hilangnya kaum lelaki sebelum menjejakkan kaki ke tangga universiti.
Gejala buli, kes juvana, penagihan dadah, pil ecstacy dan syahbu, hisap gam, gangsterisme dan banyak lagi adalah antara faktor mengapa semakin kurang kaum lelaki melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi. Terkandasnya mereka di pertengahan jalan dek kerana masalah yang terbelenggu di waktu usia masih muda adalah merupakan punca utama mengapa kes ini berlaku.
Ironinya, satu pelan tindakan ke arah pemerkasaan ini wajar dilaksanakan. Menyoroti sistem pendidikan negara, adalah dicadangkan supaya dilakukan sedikit perubahan terhadap sistem pengajaran guru-guru sekolah, baik guru sekolah rendah mahupun menengah. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Jika di amati, sepanjang 50 tahun kemerdekaan, perubahan ketara dapat dilihat antara pelajar dahulu dan sekarang.
Pelajar dahulu dapat dilihat lebih bersungguh dalam menerapkan pembudayaan menuntut ilmu dengan kesungguhan yang tinggi berbanding dengan pelajar sekarang. Di sini dapat dilihat kurangnya penghayatan para pelajar sekarang terhadap peranan dan tugas mereka untuk belajar demi pembangunan negara pada masa akan datang.
Seandainya di bangku sekolah lagi, kesedaran ini kurang dipupuk di kalangan mereka, minat untuk mendalami ilmu pengetahuan menjadi kurang berbanding mengejar keseronokan di alam persekolahan, maka tidak hairanlah mengapa ramai kaum lelaki yang tidak berminat meneruskan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi.
Penerapan budaya intelektual di kalangan para pelajar haruslah seimbang dengan injuksi pembangunan rohani dan spiritual bagi melahirkan modal insan yang benar-benar cemerlang.
Oleh itu kaedah sistem pendidikan yang digunapakai oleh guru-guru sekarang adalah sangat penting untuk diteliti semula bagi menjana satu pembaharuan terhadap pembudayaan modal insan cemerlang ini.
Disarankan, agar Kementerian Pendidikan mengkaji semula, adakah disebabkan tekanan bebanan kerja yang terlampau banyak ke atas guru-guru sekarang di samping tugas hakiki yang utama yakni mengajar telah menyebabkan objektif utama para pendidik ini untuk mendidik para pelajar mereka dengan sempurna telah terabai sedikit demi sedikit? Atau adakah sistem pembelajaran kini yang lebih berpaksikan ‘exam oriented’ telah menyebabkan , para pelajar sekarang sukar menghayati apa yang dipelajari dan guru-guru terkejar-kejar menghabiskan silibus pembelajaran mereka sehinggakan aspek penting pembinaan jatidiri pelajar sedikit terabai? Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pendidikan pada tahun 1988, pernah mengutarakan beberapa isu penting mengenai permasalahan pendidikan ini yang difikir wajar untuk kita teliti kembali.“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah mengembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu utuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkn kepercayaan dan kepatuhan kpd Tuhan . Usaha ini adalah bagi melahirkn rakyat malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan , berakhlak mulia , bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
Isu pertama yang perlu kita kaji melibatkan penyataan Falsafah Matlamat Pendidikan Negara yang biasanya disebut Falsafah Pendidikan sahaja. Walaupun kita mempunyai penyataan matlamat pendidikan di sana sini, tetapi kita mestilah menyatakan matlamat-matlamat itu dalam satu penyataan falsafah yang menyeluruh dan berhubungan dengan penyataan matlamat negara. Dengan berpandukan falsafah itu kita perlu pula mencari strategi yang sesuai bagi merealisasikan hasrat falsafah tersebut untuk melahirkan insan yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis.
Falsafah Pendidikan itu juga menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan kebangsaan kita supaya semua program dan aktiviti pendidikan merupakan pancaran prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam falsafah tersebut.
Selain itu, sehubungan dengan reformasi pendidikan kita ialah pendidikan ke arah membentuk insan. Pengajaran mata pelajaran Pendidikan Islam dan pendidikan moral bertujuan untuk membina masyarakat bertaqwa, berdisiplin dan progresif. Namun begitu, strategi pengajarnya berkesan perlu diadakan supaya nilai –nilai yang hendak diterapkan benar-benar dapat dihayati dan diamalkan. Ini ditegaskan sebagai langkah mengisi kompenen hala cara baru - 'human resource development' - pembangunan insan. Ada dikatakan oleh sesetengah orang bahawa pendidikan itu tidak harus bersifat ' utilitarian ' sahaja - generasi muda tidak dilatih hanya untuk menjadi pekerja.
manusia itu bukan kilang , barangan atau perkakas murahan untuk keperluan sistem dan ideologi. Oleh sebab itu , faktor yang mesti ditekankn ialah pembangunan insan seutuhnya. Faktor insaniah atau akhlak harus dikaitkan dalam Falsafah Pendidikan. Sebelum ini, pendididkan moral dan pendidikan Islam memang telah wujud. Yang dilakukan, terutamanya dalam mta pelajaran pendidikan Islam ialah memperkemaskan dan meningkatkan mutu penghayatan”.
Selain daripada isu pemerkasaan kaum lelaki di peringkat sekolah, GAMIS ingin menarik perhatian umum mengenai persoalan kedua yang dikira penting harus difikirkan bersama iaitu mengapa ramai di kalangan kaum lelaki lepasan sekolah kini kurang berminat untuk melanjutkan pembelajaran mereka di institusi pengajian tinggi.Rata- rata kebanyakan mereka yang ditemui, yang tidak melanjutkan pengajian mereka di IPT memberi alasan faktor minat mereka yang lebih cenderung ke arah program berbentuk kemahiran,yang menurut mereka lagi lebih menjanjikan peluang pekerjaan yang lebih cerah berbanding pengajian teori di pusat pengajian tinggi,.
Malah ada di antara mereka mengatakan tidak mahu membuang masa terus belajar dan mahu bekerja demi menyara kehidupan keluarga, memandangkan sejak mutakhir ini kita sering disogokkan dengan berita lambakan graduan menganggur. Selain daripada itu, ada juga pandangan yang turut mempersoalkan apakah keistimewaan menjadi mahasiswa jika dilihat peranan mereka tidak ubah seperti budak sekolah yang hanya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Mahasiswa dahulu dapat dilihat peranan mereka sebagai jurubicara masyarakat tetapi mahasiswa kini seolah-olah satu komuniti akademik yang terpisah daripada turut terlibat mengepalai perbincangan masalah masyarakat.
Perjuangan mahasiswa suatu ketika dulu sentiasa bersama dengan penderitaan masyarakat bawahan yang miskin. Sebab itulah setiap kali mahasiswa mengadakan demonstrasi terhadap sesuatu isu penderitaan masyarakat sentiasa mendapat sokongan dan dokongan rakyat.
Dua peristiwa terbesar dalam sejarah perjuangan mereka adalah Peristiwa Tasik Utara dan Peristiwa Baling yang berlaku pada penghujung tahun 1974 telah mengakibatkan ramai pemimpin mahasiswa ditangkap dan juga kebebasan berpolitik mahasiswa juga dirampas melalui pindaan AUKU, pada tahun 1975. Justeru kemandoman gerakan mahasiswa sekarang turut menyumbang ke arah isu permasalahan yang dibangkitkan di sini. Adakah ini akan merugikan perkembangan negara di masa akan datang ?
Justifikasi, GAMIS ingin mencadangkan kepada pihak berwajib agar perkara ini diberi perhatian yang lebih teliti, agar kita tidak hanya pandai membincangkan masalah tanpa meninggalkan satu resolusi ke arah penyelesaian yang mantap.Satu badan kajian perlu dibentuk untuk mengkaji permasalahan ini sehingga ke akar umbi yang seterusnya diharapkan akan mampu mencernakan satu pelan tindakan penyelesaian yang lebih efektif dan efisien, berdasarkan fakta yang tepat .Kita tidak mahu, oleh kerana kelalaian kita memandang isu pemerkasaan kaum lelaki ini sebagai satu isu yang enteng, maka kita secara tidak sedar meletakkan masa depan negara dalam kondisi yang bahaya pada masa akan datang.
Harus diingat, ketidakstabilan pengukuhan peranan gender dalam memangkin pembangunan negara mampu mengganggugugat produktiviti dan kecemerlangan pambangunan negara itu sendiri. Kita tidak mahu kestabilan negara ini hanya mampu bertahan sekadar 50 sehingga 60 tahun sahaja, tetapi cemerlang, gemilang dan terbilang buat selama-lamanya.
30 August 2007
GAMIS Gesa Perkasakan Lelaki Demi Menjamin Kestabilan Negara
Posted by Miss X on Thursday, August 30, 2007. - No comments
0 comments:
Post a Comment