19 December 2007

erti kasih seorang ayah

“Ayah, ampunkan salah silap saya, halalkan segala makan,minum dan asuhan ayah selama ini, doakan agar saya tenang dan dipermudahkan untuk menjawab soalan peperiksaan nanti. Moga kejayaan mengiringi anak ayah ini, dan kita akan sama-sama gembira dengan keputusannya nanti. InsyaAllah… Saya pasti, doa ikhlas seorang ayah terhadap anaknya akan lebih diperkenankan oleh Allah…” Permintaan kudus pemuda itu terhadap ayahnya diiyakan dan disambut dengan linangan air mata oleh si ayah. Perlahan-lahan gagang telefon diletakkan, dan memori tuanya mengimbau sedikit demi sedikit kenangan dan sejarah hidupnya, serta anak itu.

Sungguh dia tidak menyangka anak yang ditatang sejak dari bayi itu kini sudahpun dewasa, dan sedang menempuhi peperiksaan akhir tahunnya di universiti. Apa yang lebih mengharukan, anak muda itu tahu adab sopan serta nilai martabat seorang ayah di dalam Islam, sungguhpun tanpa ajaran dari seorang ibu. Jikalau anak-anak lain boleh menagih sayang dan merengek manja dengan ibu masing-masing ketika masih kecil, tetapi anak muda itu hanya mempunyai ayahnya untuk menumpang kasih, sementelah ibunya telahpun syahid sewaktu melahirkannya suatu ketika dahulu. Pada waktu itu, hatinya sangat pilu mengenangkan isteri yang dicintai telah terlebih dahulu menyambut seruan Ilahi, namun pesanan arwah isterinya untuk mendidik si anak dengan nilai-nilai Islam yang sempurna telah menguatkan semangatnya untuk tabah dan sabar membesarkan anak itu, meskipun tanpa bantuan seorang insan bergelar isteri dan ibu.

Itu adalah cerita 25 tahun yang lalu, dan si ayah amat bersyukur dengan anugerah yang Allah S.W.T telah kurniakan kepadanya. Benarlah bahawa Allah itu Maha Adil, Dia meminjamkan isterinya buat seketika, dan kemudian menggantikannya dengan seorang anak yang baik dan sopan akhlaknya, serta hebat pula pelajarannya. Alhamdulillah… Anak itu juga bukanlah seorang yang suka meminta-minta dari si ayah, kecuali untuk sesuatu yang benar-benar penting untuk keperluannya. Ini membuatkan si ayah semakin sayang akan satu-satunya anak itu. Dialah racun, dialah penawar, dan dialah juga satu-satunya kenangan si ayah bersama arwah isterinya.

Masa berlalu… Dalam debar menunggu hari keputusan peperiksaan akhirnya keluar, anak itu sentiasa menghabiskan masa dengan si ayah. Dan anak muda itu sempat meminta kepada ayahnya untuk memiliki kereta sendiri, sebagai hadiah jika sekiranya dia mendapat keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan tersebut. Si ayah hanya tersenyum dengan permintaan anaknya, tidak mengiyakan, mahupun menolaknya. Dan hari yang telah ditunggu oleh kedua-duanya pun tiba. Pemuda itu melangkah tenang ke universitinya untuk mengambil slip keputusan. Hasilnya… Seperti yang diduga, namanya tercatit antara pelajar cemerlng bagi kursus yang diambilnya. Gembira bukan kepalang anak itu, dan dalam lafaz syukurnya, dia segera memaklumkan kepada ayahnya akan berita gembira itu. Si ayah yang sudah menjangkakan berita gembira tersebut lantas menyuruh anaknya untuk segera pulang, dan meraikan kejayaan itu bersama.

Sesampai di pintu rumah, si ayah segera memeluk anaknya, mangucupnya, dan bibirnya tak henti mangalunkan lafaz syukur, berselang tahniah kepada anaknya.
“Pergilah ke bilikmu, ada hadiah yang menanti, sebagaimana yang kamu inginkan” Tutur si ayah lembut. Dengan segera, si anak menuju ke biliknya, sambil bibir menguntum senyum lebar apabila terpandang bungkusan hadiah berbalut kemas di atas meja belajarnya. Si anak kemudian membuka kotak tersebut, dengan harapan akan menjumpai sebentuk kunci kereta. Namun, kepalang terkejutnya anak itu,apabila isi di dalamnya hanya sebuah Al-Quran. Hancur harapannya untuk memiliki kereta idamannya, dan tanpa membelek walau sedikitpun kitab suci itu, anak itu bergegas mendapatkan ayahnya.
“Ayah, sampai hati ayah memungkiri janji terhadap saya! Selama ini, pernahkah saya meminta daripada ayah? Pernahkah saya menghampakan harapan ayah untuk berjaya di dalam pelajaran? Pernahkah saya menyakiti hati ayah? Saya turuti semua kehendak ayah, saya ikut apa sahaja yang ayah mahukan. Tapi sekarang??? Bukannya ayah tak mampu untuk membelikan kereta itu untuk saya. Ayah memang kedekut! Saya benci ayah!!!” Patah kata si anak yang bernada tinggi itu sungguh mengejutkan si ayah. Tanpa kata, pemuda itu keluar dari istana bahagia mereka, meninggalkan si ayah dan sekeping hatinya yang hancur remuk mendengar tengkingan dan ungkitan anaknya. Jujur, hatinya amat sedih, lebih sedih dari sewaktu mendapat khabar kematian arwah isterinya dulu… Maka dia tidak berdaya menahan anak kesayangannya itu pergi meninggalkannya.

Telah 20 tahun berlalu… Pemuda itu sudahpun berkahwin, mempunyai dua orang cahaya mata, menjawat jawatan tinggi, dan mampu memiliki semua yang ingin dimilikinya sewaktu muda. Selama ini, egonya mampu mengatasi ingatan dan rindunya terhadap ayahnya, namun panggilan telefon yang diterima dari pakciknya sebentar tadi menyebabkan hatinya berbelah bagi,, serta perlahan-lahan hampir meruntuhkan tembok yang dibinanya selama ini. “Ayahmu sakit tenat, baliklah, sementara masih ada peluang untukmu meminta maaf darinya, atau kamu akan menyesal seumur hidupmu…” Ditambah dengan pujukan lembut isterinya, dan permintaan anak-anaknya untuk mengenali datuk mereka, maka anak itu segera bersiap, dan memandu pulang ke kampungnya.

Sesampai di rumah yang meninggalkan seribu satu memori kepadanya, saudara-maranya memberitahu bahawa ayah yang dikasihi baru sahaja menyahut seruan Ilahi, hanya beberapa jam sebelum dia sampai. Entah mengapa, harga dirinya yang tinggi pada waktu itu masih mampu menahan air matanya dari mengalir, meskipun sedikit bersisa terkilan di hatinya kerana tidak sempat memohon maaf. Selesai semua urusan menyempurnakan jenazah ayahnya, hatinya terdetik untuk melihat biliknya dahulu. Perlahan-lahan, kakinya menapak ke bilik itu, dan hatinya sayu apabila melihat hiasan bilik tersebut masih sama seperti waktu dia meninggalkannya dahulu, dan perasaan sebaknya tidak dapat ditahan apabila melihat bungkusan hadiah sempena keputusan cemerlangnya 20 tahun yang lalu, masih terletak elok di atas mejanya. Dia membuka kotak tersebut, mengambil Al-Quran tersebut, dan membelek-beleknya. Sekeping nota terjatuh, bertulis; ‘Tahniah anakku! Sungguh, Allah Maha Penyayang dengan menganugerahkan kamu kepada ayah. Ayah amat bangga denganmu, dan ayah sayangkan kamu. Terimalah hadiah ini,seperti yang kamu minta, ikhlas dari seorang ayah kepada anaknya…’ Di tengah-tengah helaian kitab suci itu, terdapat sedikit benjolan yang menghairankan si anak. Dan apabila diselak, anak itu seakan ingin meraung apabila melihat sebentuk kunci kereta terletak elok di halaman itu, 441, Surah Luqman ! Lantas dia terduduk, menangis semahunya, dan tak henti- henti menyesali akan apa yang telah dilakukan terhadap ayahnya suatu ketika dahulu…… “Ayah, ampunkan anakmu yang derhaka ini…”

-Dipetik dan diubahsuai daripada kisah benar…. Cuba anda letakkan diri anda di tempat pemuda tersebut. Apa yang anda rasa??? Fikir, renung, dan muhasabah diri masing-masing... Apakah telah cukup kasih-sayang yang telah kita berikan terhadap ayah, mahupun ibu masing-masing??? Apakah kita telah menjadi seorang anak yang soleh dan solehah, yang benar-benar telah berusaha sedaya upaya untuk menggembirakan hati ayah dan ibu masing-masing??? Apakah telah terbayar semua budi, jasa dan pengorbanan mereka terhadap kita??? Maka, bagi mereka yang masih mempunyai ibubapa, inilah masa terbaik untuk kita menggembirakan hati ibu bapa kita, iaitu dengan memperoleh keputusan yang terbaik di dalam apa sahaja kursus yang diambil... Semoga dengan kejayaan kita, akan menggembirakan mereka, dan sedikit sebanyak pengorbanan mereka selama ni terbalas. Dan bagi sahabat-sahabat yang telah kehilangan ibu, bapa, atau kedua-duanya, usahlah bersedih... Kerana doa anak yang soleh dan solehah itu mampu membantu mereka di alam sana. Berdoalah... Semoga sedikit cerita ini, dan sempena bulan Zulhijjah ini, mampu menyedarkan kita tentang pengorbanan mereka terhadap kita... Wallahualam...-

0 comments: