23 January 2008

PENGHAYATAN BAI’AH

Oleh : Ustaz Zulhelmi Bin Haron

MUQADDIMAH

‘ Berilah peringatan,. sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat kepada orang-orang Mukmin’

Di dalam Al-Quranul karim ada menyebut dalam dua keadaan :
i-'Ya Ayyuhan-Nas' (untuk semua manusia)
ii-'Ya Ayyuhallazina Amanu' (untuk orang Mukmin)
Kedua-dua ayat tersebut menunjukkan Islam itu untuk semua.

Manusia itu dijadikan untuk bantu-membantu antara satu sama lain di samping kita dijadikan berqabilah (berkelompok) tetapi apa yang pasti ialah AQIDAH dan PERJUANGAN itu adalah sama.

“Sesungguhnya yang mulia di sisi Allah s.w.t adalah taqwa” ….dan ini bermakna tiada perbezaan lain melainkan TAQWA.

BAI’AH DAN KEPENTINGANNYA

“Kita bukan menyokong pimpinan tetapi
kita menyokong perjuangan yang dibawa oleh pimpinan”

Bai’ah boleh dibahagikan kepada 2 iaitu
i- bai’ah am – perlu ada saksi
ii- bai’ah khas – tidak memerlukan saksi

Bai’ah boleh dilakukan dengan 4 cara iaitu :
1. Musafahah – yang bermaksud dengan cara berjabat tangan tetapi menjaga batas dari segi jantina. Sebagai contoh semasa Bai’atul Aqabah @ Bai’atul Nisa (kerana ada seorang muslimat ketika itu), Nabi Muhammad s.a.w berjabat tangan dengan semua yang berbai’ah kecuali dengan muslimat tersebut yang hanya mengungkap bai’ahnya melalui perkataan sahaja.
2. Berwakil – iaitu mewakil polan bin polan. Sebagai contoh individu yang hadir ke Muktamar boleh mewakili sahabat-sahabat yang tidak hadir berbai’ah kepada pimpinan yang baru dilantik.
3. Bertulis – Menurut Ustaz Yahya Osman, penghayatan bai’ah itu adalah menerusi borang keahlian.
4. Secara sembunyi – sebagaimana yang dilakukan oleh para sahabat di rumah Al-Arqam Bin Abi Al-Arqam

Apakah syarat-syarat SAH BAI’AH?
1. Pemimpin yang dilantik perlukan mempunyai kepimpinan yang memenuhi ciri-ciri kepimpinan Islam.
i- Rukun untuk menjadi pimpinan ialah KEKUATAN( Quwwah) & AMANAH.
ii- Jelas dengan perjuangan, sihat tubuh badan, mempunyai fikrah yang jelas, mempunyai pengetahuan etc.

2. Tidak dipaksa. Terdapat 2 qaul berkaitan syarat ini iaitu :
i- Tidak sah jika dipaksa
ii- Menurut Imam Al-Ghazali – boleh dipaksa dengan syarat tidak ada yang benar-benar layak tetapi jika ada, bai’ah tersebut terbatal.

3. Mestilah dipilih melalui pendekatan Syura. Syura boleh dibahagikan kepada 2 iaitu:
i- Syura Am – yang diputuskan oleh ramai orang
ii- Syura Khas – ahlinya adalah dikalangan alhalli wal aqdi

4. Mesti ada saksi. Saksi tersebut mungkin terdiri dari individu-individu yang mewakili batch masing-masing terutama batch-batch yang awal (senior).

5. Tidak boleh berbai’ah lebih daripada seorang pemimpin.

- Di dalam Islam, sekiranya terdapat 2 orang pemimpin yang dibai’ah, pemimpin yang kedua perlu dibunuh kerana boleh mengganggu kesatuan dan perpaduan umat Islam.

Apakah HUKUM Bai’ah?

Menurut kitab ianya adalah WAJIB dan sesetengah mengatakan hukum bai’ah adalah FARDHU ‘AIN berdasarkan kaedah Fiqh :

‘Tidak ada yang wajib melainkan dengan adanya, ianya menjadi wajib’

Menegakkan Islam itu adalah wajib jadi untuk menegakkan jamaah Islam, bai’ah itu adalah wajib

Kesan NEGATIF jika mengABAIkan BAI’AH

1. Gerakan Islam atau jamaah islam akan menjadi lemah dan banyak berlakunya fitnah. Oleh kerana itu, setiap kali perjumpaan, bai’ah tersebut perlu diperbaharui semula (renew) supaya masing-masing dapat mengamalkan akhlak Islam dan untuk menguatkan lagi ikatan dalam perjuangan Islam.
- Ustaz juga menerangkan mengenai keburukan yang akan timbul sekiranya Mathurat diabaikan

i- boleh meregangkan ukhwah ( ikatan hati akan hancur begitu sahaja) kerana Mathurat merupakan acuan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w

ii- kita akan rasa ‘tidak sedap hati’ sekiranya sesuatu yang buruk berlaku kepada sahabat-sahabat kita kerana itu adalah ‘hint’ dari Allah s.w.t

iii- pengabaian juga boleh menghancurkan jemaah itu sendiri kerana tidak ada sifat kebersamaan dan ikatan hati antara satu sama lain.

2. Lahirlah ahli yang tidak bertanggungjawab dalam perjuangan. Gaya hidupnya sendiri terikut-ikut dengan gaya hidup orang lain keran tidak ada ikatan hati dan aqidah yang kuat.

3. Longgokan kerja ke atas orang lain. Di sebabkan situasi ini berlaku ahli tersebut akan terbeban dengan kerja yang banyak sehingga menganggu akademiknya yang boleh menjadi fitnah kepada Islam. Orang yang sama memegang jawatan setiap kali program manakala ahli lain yang tidak melibatkan diri dalam apa-apa taklifan.

'Kewajipan itu lebih daripada masa yang ada’

Amal Islami boleh dipecahkan kepada amal Jamaie dan amal Ijtimaie. Amal Jamaie adalah amal yang diputuskan oleh tanzim yang mempunyai sistem manakala Amal Ijtimaie adalah amal yang berbentuk kemasyarakatan (sebagai contoh situasi hari ini adalah kelab2 dan persatuan2). Kadang-kadang kita lebih meng’awla’ kan program2 lain , sekiranya bertembung antara program jemaah dan program yang bukan melibatkan jemaah, perlulah didahulukan program jemaah dan escape program yang lain daripada itu. Sekiranya kita mempunyai autoriti (menjadi presiden persatuan contohnya), gunakan kuasa yang ada samada menganjakkan masa atau menukar pada hari2 yang lain (jika bertembung) dan mendahulukan program2 jemaah kerana kita adalah golongan yang faham.

Bagaimana MENGATASI masalah BAI’AH ?
- perlu ada penghayatan bai’ah jika tidak kita akan mengambil sikap sambil lewa.

- Tekankan selalu di dalam usrah

Tambah ustaz, sekiranya ahli takut dengan bai’ah dengan perjuangan Islam, maka tidak perlulah bersolat kerana apa? Kerana kedua-duannya merupakan perintah dari Allah s.w.t.

- jika mentaati pimpinan perlu disertakan dengan Bai’ah. Mengambil contoh dari sirah pada zaman perlantikan Abu Bakar As-Siddiq r.a, bai’ah tersebut telah diketuai sendiri oleh Saidina Umar dan diikuti oleh yang lain dengan lafaz ‘ Kami akan taat kepada Khalifah Abu Bakar’.

‘Tidak ada ketaatan makhluk jika ada maksiat di sisi Allah Ta’ala’

Perlu melihat samada ianya menuruti syara’ atau pun tidak dan tidak hanya bertaqlid semata-mata tanpa ada pertimbangan yang jelas.

Bagaimana jika Bai’ah DIKHIANATI?

‘ Sesungguhnya orang-orang yang berbai’ah (berjanji setia, patuh) kepada engkau (ya Muhammad), hanya sebenarnya mereka bai’ah kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka. Barangsiapa yang melanggar (bai’ah itu), maka bahaya perlanggarannya itu atas dirinya sendiri dan barang siapa yang menyempurnakan (menepati) apa yang telah dijanjikan kepada Allah, maka Allah akan memberikan pahala yang besar kepadanya’

(Al-Fath : 10)

- Orang yang mengkhianati bai’ah – tunggulah azab Allah yang amat pedih
- Orang yang menghayati bai’ah – akan diberikan kemenangan oleh Allah

Wallahu a’lam

Memetik kata-kata mantan Amirah

‘Jangan Kita Kisah Apa Yang Orang Buat Tetapi Kita Kisah Dengan Apa Yang Kita Nak Sumbangkan Untuk Jemaah’



‘Pemimpin yang hebat adalah pemimpin yang melukis zamannya sendiri, bukan zaman tersebut yang melukisnya’

- Adolf Hitler



‘Membumi tarbiah, memperkasakan dakwah, memartabatkan siasah’

- cilok UM nyer


from,
KAK ANIE

ini bukan penulisan ana, js skdr berkongsi perkara yg dah kita buat, iaitu ba'iah...

9 January 2008

Penjanaan MUKMIN Serba Baru




Tahun 1428H bakal melabuhkan tirainya. Meninggalkan segalanya dalam lipatan kenangan dan catitan Rakib dan 'Atid. Entah apa komen mereka yang sangat tulus dalam melaksanakan tugas terhadap kita.

Bagi yang merayakan kehilangan 2007, akan menyambut lagi satu perayaan yang pada hemat saya lebih kurang sama.

Kedua-duanya meninggalkan tahun dan menyambut tahun.

Kedua-duanya menuntut koreksi segenap aspek.

Kedua-duanya memperbaharui azam dan perancangan.

Jadi apa istimewanya tahun baru Islam berbanding masihi? Kalau benar Islam sudah lengkap (dan melengkapkan yang lain) seharusnya tak ada dua perayaan yang serupa. Dan tak perlulah merayakan keduanya.

APA YANG DITINGGAL BUAT KITA

Sebelum kita melihat sama-beza tahun masihi dan tahun Islam, mari kita selak tirai yang bakal menghijab kita untuk melangkah ke belakang.

Suatu peristiwa yang menarik Allah sediakan buat kita sebelum melangkah lebih jauh. Hari Raya Korban atau Eidl Adha berdiri betul-betul di belakang tirai. Eidl Adha bukan sekadar satu perayaan dan peristiwa, tapi ia juga satu memo awal dari Allah untuk gerak kerja tahun hadapan.

Peristiwa keluarga Ibrahim diisytihar sebagai satu perayaan kerana Allah mahu semua mengambil ibrahnya pada setiap tahun. Kisah lelaki, suami, bapa, pemimpin, wanita, isteri, ibu, madu, serta seorang anak. Kisah yang menjangkau watak walau hanya diwayangkan oleh TIGA manusia. Lengkap untuk semua lapisan manusia.

BIASA YANG LUAR BIASA

Ya, Hajar hanya wanita biasa. Malah tarafnya sebelum dinikahi oleh Nabi Ibrahim adalah hamba, hadiah pemberian Raja Mesir. Selepas dinikahi pun, dia masih biasa. Malahan dia adalah isteri kedua, madu buat Sarah. Tiada apa yang menarik pada Hajar pada asalnya.

Namun Allah pilih dia untuk menerima tarbiyah hebat. Memegang status isteri kedua dan mampu melahirkan anak pasti menimbulkan cemburu buat Sarah, biarpun pada awalnya Sarah yang mengusulkan Nabi Ibrahim untuk memperisterikan Hajar. Mungkin itulah fitrah wanita (saya kata 'mungkin' kerana saya belum bermadu, jadi tak tahu perihal hati wanita yang dimadukan).

Lantas Allah mengilhamkan Nabi Ibrahim untuk membawa keluarganya yang satu itu jauh dari Sarah. Malah jauh dari sekalian manusia. Dan Hajar tak merungut biar sepatah. Dia sanggup mengorbankan haknya untuk tinggal selesa bersama suami tercinta, demi kebahagiaan madunya yang berjasa.

Dibawanya jauh dari kota Kan'an dan seterusnya disuruh tinggal berdua dengan bayinya di tengah lembah Bakkah yang kering. Dan dia masih tak merungut biar arahan itu seakan tak masuk akal dan boleh membahayakan nyawa. Mungkin mati dek tiadanya makanan dan air. Mungkin diculik dan dijual oleh pedagang yang lalu lalang.

Tapi dia tak mengungkap apa.

Yang keluar dari bibirnya hanya pertanyaan, "Ibrahim suamiku, benarkah engkau akan meninggalkan kami sendirian? Benarkah ini perintah dari Allah?" Apabila Nabi Ibrahim mengiyakannya, dia tak tanya apa-apa lagi.

Tak tanya bila suaminya akan datang semula.

Tak persoal adakah tempat itu selamat dihuni atau tidak.

Tak berkata apakah bekalan yang ditinggal.

Hajar meletakkan thiqohnya hanya pada Allah hingga tak terlintas di hatinya sangkaan buruk (suuz dzan) terhadap Allah mahupun suaminya.

Barang siapa menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang pada tali Allah yang kukuh. Dan hanya kepada Allah lah kesudahan segala sesuatu [Surah Luqman: 22]

Disinilah letaknya LUAR BIASA pada wanita biasa seperti Hajar. Kerana lasaknya diri (jiwa) demi Allah, suami, anak dan madunya dia diangkat ke darjat yang tinggi yang tak pernah dia banyangkan.

Juga pada Ismail yang sanggup 'dibunuh' oleh bapanya sendiri sewaktu dirinya masih kecil. Mungkin kita mempertikainya yang Ismail adalah seorang Nabi, jadi dia ada sedikit 'luar biasa'. Tapi hakikatnya dia jua manusia, malah seorang anak kecil yang masih banyak keletah.

Di sini letaknya peranan Nabi Ibrahim sebagai seorang pemimpin keluarga. Dia mampu mencorakkan hati keluarganya supaya benar-benar taat pada Allah. Walau ada ketikanya dia sendiri bermuram duka untuk menyembelih anaknya, tapi anaknya yang bakal 'dibunuh' itu pula yang memujuknya untuk melaksanakan suruhan.

SURAT PEKELILING DARI NYA

Alihkan pandangan kita pada segala gerak laku zahir dan batin sepanjang 2007 dan 1428. Apakah kita sudah layak melihat syurgaNya andai kita dijemput pada malam tahun baru hijrah ini.

Kononnya bangga dengan orang kampung kerana bergelar mahasiswa, tapi bila kita ditarbiyah olehNya, tak kira melalui siapa, pasti ada keluhan meniti dibibir. Kalaupun hebat bibir menahan rasa, tanya pula pada hati. Sedikit sebanyak pasti terasa berat menerima 'hadiah' musibah dariNya.

Maka apakah kita bangga diangkat darjat oleh manusia kerana status mahasiswa padahal kita sendiri meletakkan martabat kita pada tahap lebih rendah dari hamba sahaya kerana mempertikai caturan Maha Pencipta?

Ini berlaku pada anda dan saya. Kita serupa. Maka Allah mengirimkan kita sebuah kisah untuk memandu perjalanan HIJRAH. Pilihan memang terletak pada tangan kita. Samada ingin menerima manual ini ataupun tidak. DIA tak rugi walau sekecil zarah.

SAMA TAPI JAUH BEZANYA

Jadi apa beza tahun baru masihi dengan Islam?

Bezanya ialah dengan Islam kita diberi panduan. Dengan masihi kita masih meraba.

Dengan Islam kita dibawa kepada sirah (kisah keluarga Ibrahim dan perpindahan kaum muslimin membentuk dunia baru Islam). Dengan masihi kita asyik memandang ke depan.

Dengan Islam kita bertahun baru (beraya) sebagai hamba. Dengan masihi kita bergelak gila suka tanpa punca.

Dengan Islam kita dipesan olehNYA untuk BERKORBAN, MENDIDIK JIWA, dan sentiasa BERLAPANG DADA TERHADAPNYA (semuanya mengandungi keperitan!). Dengan masihi kita bongkak menongkah pembaharuan.

Maal Hijrah tidak disambut dengan sia-sia. Kita dituntut untuk membedah segala titik hitam dalam diri supaya tahun 1429H melihat seorang MUKMIN baru yang bukan sahaja penuh dengan azam tapi juga terkandung ketundukan terhadapNya.

"Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganmu tapi aku masih belum bertaubat. Sedangkan Engkau tidak redha dan aku lupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan untukku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu.

Sesungguhnya pada hari ini aku memohon ampun dariMu, maka ampunilah aku dan segala yang aku lakukan pada tahun ini, yang Engau redhai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya dariMu"


Selamat tahun baru Hijri. Semoga tahun 1429H memperlihatkan manusia (MUKMIN) serba baru. Baru yang semakin ke arahNYA.


kelawarHijau
30 / 12 / 1428H
6.15 petang