Cuti semester kembali lagi. Bagi kebanyakan mahasiswa/i khususnya di IPTA seluruh negara, inilah masa yang ditunggu-tunggu kerana azab bebanan sepanjang semester akhirnya dapat ditamatkan. Tetapi, bagi sesetengah mahasiswa pula, cuti merupakan masa yang terbaik untuk mereka menambah pengalaman dengan melakukan kerja separuh masa. Ada yang jadi pengawal keselamatan, guru tuisyen, pelayan di kedai-kedai makan dan tak kurang juga yang pulang ke kampung mengerjakan kebun dan sawah bendang. Juga, bagi sekelompok mahasiswa lain, termasuk rakan-rakan saya, cuti ini termasuk dalam sesi pengajian mereka dengan penglibatan dalam Latihan Industri.
Justeru, CUTI boleh didefinisikan dengan pelbagai maksud. Semuanya akan bergantung kepada sejauh mana cuti itu hendak dimanfaatkan. Sememangnya pengertian cuti ini memang berbeza-beza bagi semua orang. Ada yang meletakkan cuti sebagai masa terbaik untuk mereka berehat. Maka, CUTI = REHAT. Ada pula yang merasakan cutilah masa yang terbaik untuk menambah duit poket dengan bekerja di mana-mana agensi atau kedai. Maka, pada mereka CUTI = KERJA+DUIT POKET. Apa pula pengertian cuti pada saya?
Pada saya, apa jua CUTI itu hendak ditafsirkan, ia perlu ditimbangkan terhadap sejauh mana manfaatnya kembali pada seseorang. Jika dalam Situasi A, beliau merupakan seorang mahasiwa yang sangat aktif di kampus. Memegang jawatan tertinggi dalam beberapa persatuan dan masih menjadi AJK dalam persatuan yang lain. Malah, di bawah kelolaannya berjaya membawa Perdana Menteri Malaysia masuk ke dalam kampus untuk merasmikan majlis beliau. Namun, bila cuti menjelma seolah-olah tiada langsung kaitan persatuan dengan dirinya. Tidak ada sikit pun masa yang diambil untuk memikirkan masa depan persatuannya. Maka, adakah manfaat terhadap persatuan beliau jika begitu?
Akhirnya, semuanya akan berbalik kepada individu itu sendiri. Pada saya, walau apa pun cara cuti tersebut dihabiskan, apa yang penting adalah sejauh mana pengisiannya. Jika disia-siakan begitu sahaja, maka rugilah cuti yang ada sebulan atau dua. Maka, formula terbaik yang saya boleh fikirkan bagi CUTI adalah
C.U.T.I = Cuti Untuk Tingkatkan Iman
Maka, formula ini mengajak semua pembaca khususnya mahasiswa untuk menggunakan cuti yang ada dengan meningkatkan lagi pengisian diri. Baru la bermanfaat. Apa yang perlu dibuat untuk tambah pengisian? Mudah saja. Segala apa yang tidak berjaya dilaksanakan semasa sesi pengajian dek kerana masa yang begitu menghimpit, maka lakukan pada masa cuti. Contoh:
1. Solat 5 waktu berjemaah di surau/masjid
2. Mendengar tazkirah atau kuliah-kuliah maghrib/subuh di masjid
3. Menambahkan bacaan al-Quran setiap hari dengan konsisten
4. Menambahkan pembacaan buku
5. Mendapatkan maklumat semasa MALAYSIA dan DUNIA melalui medium akhbar/berita dll
6. Menziarah jiran tetangga/saudara mara
7. Menghadiri seminar atau ceramah umum
8. Dan beribu-ribu lagi aktiviti yang anda boleh lakukan
Mudah kan? Bukankah ini antara perkara-perkara yang menjadi alasan kebanyakan kita pada sesi pengajian dek kerana kesempitan masa belajar dan menghadap buku akademik? Maka, gunakan masa cuti sebaiknya untuk menambah lagi sisi hidup anda dengan perkara-perkara yang sepatutnya. Gunakan masa yang ada sebagai persediaan untuk sesi pengajian yang seterusnya, bukan dibazirkan begitu saja dengan bermain, tidur, menonton TV 24 jam dan seumpamanya. Mahasiswa merupakan aset penting MALAYSIA dan DUNIA yang menuntut setiap masa yang ada untuk dimanfaatkan.
Selamat bercuti saya ucapkan kepada semua.
Jangan biarkan REHAT menghantui masa CUTI anda yang sangat berharga.
Sekian.
M.Waliyuddin Bahza
Sains Makanan & Pemakanan
UKM Bangi
24 May 2010
C.U.T.I = Cuti Untuk Tingkatkan Iman
Posted by Miss X on Monday, May 24, 2010. - No comments
0 comments:
Post a Comment