Moga Gagasan Ini Terus Disambut Baik Oleh Para Pemuda
SUNDAY, APRIL 17, 2011
sumber
"Kita tidak boleh berfikir seputar tentang kalangan kita sahaja atau untuk kepentingan kelompok kita sahaja, sebaliknya kita mesti mula belajar berfikir tentang rakyat seluruhnya, berfikir tentang kebajikan bangsa bukan Melayu, memberati kepentingan orang bukan Islam, menjuarai isu-isu bukan agama, prihatin terhadap orang bukan PAS, bahkan mengambil berat persoalan-persoalan antarabangsa juga.
Kita mesti meninjau sama persoalan-persoalan yang lebih besar seperti pentadbiran negara, pengurusan ekonomi awam, perancangan dasar-dasar awam dan sebagainya, yang sedang mendesak kita untuk memiliki kemahiran-kemahiran tambahan. Ahli-ahli Pemuda mesti sentiasa memperdalami ilmu dalam pelbagai bidang, tidak terhenti dengan kemahiran agama yang menjadi fardhu 'ain sahaja, sebaliknya kemahiran keduniaan yang menjadi fardhu kifayah juga dipertingkatkan.
Kita mesti belajar untuk bergerak dalam satu pasukan kepimpinan yang berkesan, bukannya lagi secara individu. Kita sudah berupaya melahirkan murabithun di semua peringkat, tetapi malangnya kebolehan para murabithun untuk menjadi pemikir masih ditahap yang rendah. Kita tertunggu-tunggu pimpinan baru yang berupaya mencetuskan wawasan besar, berfikiran matang dan menjangkau jauh kehadapan. Kegagalan kita melahirkan pemimpin-pemikir (qiyadah-mufakkir) telah mengakibatkan kelesuan perjuangan kita.
Saya mencadangkan supaya pemimpin-pemimpin Pemuda yang ada supaya memulakan budaya penyelidikan melalui institusi-institusi persendirian. Lebih penting jika boleh mewujudkan pasukan pemikir dan institusi pemikir persendirian yang boleh membantu meningkatkan keupayaan kognitif kita dalam perjuangan. Kita melihat pemimpin-pemimpin besar dunia memiliki beberapa pusat kajian untuk membantu mereka menjadi pemimpin yang baik, dan tiada sebab untuk kita tidak memulakan langkah yang sama demi kecemerlangan gerakan kita.
Sesungguhnya usaha ini bukan sekadar persiapan untuk kita mengambil alih pemerintahan negara, tetapi juga untuk memenuhi keperluan kepemimpinan pada masa depan yang lebih mencabar.
Menjadi pembangkang yang berkesan di negara ini bukan bermaksud membangkang segalanya atau sentiasa ’membuat bising’ untuk menggugat kerajaan yang ada. Tetapi pembangkang yang berkesan ialah apabila kita boleh menjadi pembangkang berwibawa (credible opposition) dan pembangkang taat (loyal opposition), yang bersedia duduk semeja dengan kerajaan untuk kepentingan rakyat dan kita sanggup memberikan konsensus untuk kepentingan negara.
Kini perubahan zaman juga menuntut ulama’ supaya maju beberapa langkah lagi untuk memastikan peranan mereka lebih berkesan dan lebih relevan dalam dunia kontemporari. Ulama’ juga perlu lebih proaktif dalam meneliti fenomena masa kini, menangani kerencaman isu dan masalah moden, serta memimpin perubahan dalam masyarakat masa kini."
Petikan Ucapan Dasar YB Salahudin Ayub,
Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Kali Ke-49
Stadium Indra Mulia, Ipoh, Perak
13 dan 14 Ogos 2008
0 comments:
Post a Comment