1 June 2008

~SIMBIOSIS... pembelajaran sepanjang hayat~



Aku menutup naskhah suci itu dengan penuh rasa kesyukuran. Sambil bibirku basah mengalun zikir, ku capai Z530i pemberian kakak kesayangan ku.

Jam pada waktu itu sudah menunjukkan angka 3.00 pagi, waktu yang ku kira adalah waktu yang terbaik untuk melelapkan sepasang mata ini. Namun entah kenapa, mataku ini masih gagah meniti kepekatan malam.

Aku segera mengambil wudhu’ dan mengerjakan beberapa rakaaat solat sunat. Mengambil kesempatan selayaknya, kerana kadang-kadang diri yang lemah ini tewas juga dengan godaan kantuk dan selimut tebal yang terlipat elok di atas katil itu.

Dan pada malam yang dingin dan damai itu, fikiranku mula menerawang sendiri, memikirkan mengenai diri ku sebagai hamba Allah yang diberi peluang menikmati hidup di bumi Nya ini selama 20 tahun. Dan dalam keluh kesahku dinihari itu, aku tersenyum saat terkenang cara didikan halus buat hambaMu ini. Maha suci diriMu… Maha Besar kuasaMu… Ya Allah…

Dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang sederhana, aku sangat-sangat bersyukur dengan apa sahaja yang dikurniakan Nya kepadaku. Meniti alam kedewasaan, aku mula belajar menilai dan meneliti alam sekeliling, mengkaji simbiosis sesama makhluk hidup dan bukan hidup, menyusuri sunnatullah yang ditetapkan. Dan aku paling terkesan akan apa yang Dia terbiyyahkan melalui kebergantungan sesama ciptaan yang ditetapkan.



Ketika aku sudah bertatih jatuh dan bangun, mulutku pandai berkata-kata, aku bertanya pada bonda tercinta. "Dari mana datangnya kita ya bonda?"

Maka ratuku itu menjawab, "Kamu keluar dari perut bonda sayang."

"Oh, kalau begitu, pasti perut bonda sangat besar sewaktu ku masih di dalamnya!"

Dan dia tersenyum, sambil menyambung, "Kerana itu kamu perlu patuh dan taat pada bonda, sayangi bonda sepertimana bonda menyayangimu. Syurga di bawah telapak kaki ibu. Bonda tahu anak bonda ini baik, mesti nak masuk syurga kan? Jadi kena la buat baik, rajin, selalu tolong bonda"

Dan aku pun mengintai-ngintai di telapak kakinya, mencari rupa syurga di situ.

Kakakku pula menambah, "Kamu mesti sayang bonda 3 kali lebih dari abah!" Tuturnya seolah tahu semua perkara, merujuk apa yang Nabi Muhammad S.A.W sabdakan.

Dan aku menjawab lagi, "Wah, kasihanla abah, nanti mesti dia kecil hati, dan jealous jika tahu aku sayang bonda lebih dari dirinya!"

Dan kami ketawa bersama, sambil ku menggaru kepala memikirkan apa yang lucu ya?




Di kala aku masih hingusan, ku hafal hubungannya begini…

Rumput~ dimakan ulat.
Ulat~ dimakan ayam.
Ayam~ dimakan manusia.
Maka rantaian makanan nya putus.

Begitu sahajakah ??? Lantas, manusia dimakan siapa ya? Kalau begini,maka tidak hairan ada unsur kanibal, manusia dimakan dan memakan manusia, kerna jika rantainya putus di situ, maka yang paling berkuasa di muka bumi ini pastinya manusia. Waah~~ sudah hafal begini, kiranya aku sudah mendapat A untuk subjek Sains UPSR!

Menginjak ke alam baligh, aku teruskan minatku mengkaji hubungan ini. Ku perhatikan kiri dan kananku.


Hmm, nampaknya, hubungan sesama manusia tak putus di situ wahai diri! Lihat sekelilingmu, lelaki dan perempuan saling berhubung... Lelaki dan perempuan saling bertukar senyum, berbalas jeling, bertukar sapa, berutus surat pun ada. Wah, makin menarik nampaknya kajianku. Jika begini, maknanya ia berkadar songsang dengan teori kanibal zaman kecilmu.

Tapi, kenapa ya, hatiku menidakkan hubungan fitrah ini? Kata mereka, hubungan ini manis, kerna ada yang menyayangi diri kita, ada yang memuji dan memuja kita, ada yang memujuk saat diri merajuk.

Hmm, sudah ada ibu bapa yang boleh melakukan itu, malah boleh memberi lebih lagi. Sudah ada rakan sekepala sesama jantina, apa perlu kepada lelaki? Lantas, mengapa perlu ada hubungan sesama yang bukan mempunyai pertalian, malah berlawanan jenis lagi.

Kata Cikgu Farid, itulah manusia jika dikaji saintifiknya. Saling berlawanan cas, maka apabila cas positif dan negatif bertemu, maka jadilah macam magnet, melekat satu sama lain, tak boleh dipisah. Monolog hatiku, ”Cikgu, ni merenyam namanya, 3G~ gatal, gelenyar,geletah!” Dan aku serta rakan-rakan sekumpulan akan ketawa sendiri. Juga, dengan kefahamanku yang ini, maka aku mendapat tempat ke sekolah berasrama penuh.

Meneruskan eksperimenku, tapi kini dalam konteks yang lebih luas. Menginjak ke angka 16, 17 tahun, makin banyak yang ku tahu, dan dalam masa yang sama, makin banyak jua yang ku perlu pelajari. 'Semakin banyak ku tahu, semakin terserlah kebodohanku', begitu kata salah seorang imam 4 mazhab.



Tika ini juga aku pelajari, pendapat alam sekolah menengah tingkatan 1, 2, 3 ku dulu perlu disanggah. Lelaki dan perempuan itu, yang selayaknya halal adalah apabila disahkan nikah mereka, berakadkan mahar dan berwalikan bapa, abang, datuk, atau setarafnya. Maka dari situ, barulah akan berkembang zuriat yang dibenarkan syarak, di saat sperma berenang bertemu ovum, lalu menyusuri tiub fallopio, membahagi, samada satu, mahupun menjadi kembar dua yang seiras ataupun tidak, kemudian melekat di dinding endometrium, membesar, menerima nutrien secukupnya, dan setelah genap waktu yang ditetapkan, barulah lahir insan baru ke dunia ini, lalu menjalani proses yang sama, tetapi mungkin ceritanya berbeza denganku.

Wah, hebat! Hebat sungguh kuasaNya. Dan proses ini diulas di dalam kalamNya,

"Wahai manusia! Jika kamu meragukan (hari) kebangkitan, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani , kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu, dan Kami tetapkan dalam rahim menurut kehendak Kami sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi....." (Al-hajj : 5)


Puas! Hatiku puas dengan penjelasan Ilahi yang terperinci mengenai susur galurku, juga manusia-manusia lain.

Nutfah-Alaqah-Mudghah-Tiupan roh-Implantation-Manusia dengan 46 kromosom!

Maka teori ini kurasa cukup jelas untuk mengkhabarkan mengenai perkembangan manusia dan interaksinya sesama persekitaran. Aku tersenyum lagi.

Kemudian, aku menjejakkan kaki ke alam matrikulasi. Alam pra-universiti, kata pensyarahku. Sedang fikiranku tertanam kukuh dengan teori biologiku itu, korneaku terpandang suatu fenomena baru.

Gadis-gadis seusiaku, tetapi penampilannya sedikit berbeza. Bertudung labuh, berjubah, sentiasa tersenyum dan menghulur salam, akan saling mencium pipi kiri dan kanan kawannya. Sementelah aku bukan sekolah agama, aku kira itu memang budayanya, budaya budak sekolah menengah agama, atau maahad!

Tiba-tiba mereka mahu berkawan denganku. Kata mereka, inilah yang dinamakan ukhuwwah, kita bertemu,berkasih sayang dan berpisah kerana Allah S.W.T. Aku pernah mendengar ayat ini, sewaktu sekolah menengah dulu, dituturkan naqibah usrahku. Hati ku sedikit tertarik, sementelah memang sudah lama aku mencari akan nikmat yang satu itu, nikmat persahabatan yang sudah lama hilang!



Bersama mereka, ku belajar sesuatu yang baru. Rakan sudah bertukar menjadi sahabat, study group bertukar menjadi liqa’, stay up sudah terisi dengan qiyamullail, bersukan ditukarganti ke riadhah, roti canai sekeping dua jadi lebih sedap jika dimakan berenam atau berlapan, solat lima waktuku sudah berjemaah di surau, ketua sudah jadi amir atau amirah, malah persahabatan itu sendiri menjadi ukhuwwah!

Dan yang paling baru, hidup kita bukan hanya diri kita, kita wajib mengambil tahu hal sahabat-sahabat yang lain. Bukanlah ertikata `sibuk badan’ atau englishnya busy body, tapi memang Allah sudah tetapkan begitu. Kita dijadikan Allah sebagai khalifah di muka bumiNya, yang bererti kita wajib berdakwah kepada sahabat-sahabat yang tidak tahu, ataupun sudah tahu, tetapi Allah uji sedikit hatinya dengan kelalaian. Kita sebagai dai’e, wajib menjalankan amar maaruf nahi mungkar terhadap para mad’u di sekeliling !

Errkk...DAKWAH? DAI’E? MAD’U?

Aku agak terpinga-pinga, tapi sahabat-sahabatku nampaknya sudah arif benar, ibaratnya sudah hadam sekali kata-kata dari Bukhari si amir masjid itu.

Dan sahabat-sahabatku yang mafhum akan kecetekan dan kedangkalan ilmuku, terus-terusan membantuku memahami akan semua itu. Gerak kerja jemaah, pentingnya melibatkan diri dengan jemaah, bagaimana untuk berdakwah secara berhemah, mengambil hati mad’u atau sasaran dakwah dengan sebetulnya, dan kerja-kerja Islam yang lain.

Dan paling penting, kata K.ngah selaku amirahku, kena ingat, kita buat kerja Islam ikhlas kerana Allah. Islam tak perlukan kita pun, tapi kita yang perlu terhegeh-hegeh hendakkan Islam.

Dan di sini, aku dapat relatekan kembali teori simbiosis ku dulu. Kebergantungan sesama manusia, akan menjadi semakin kuat apabila bergerak di dalam satu kumpulan, yang mana matlamatnya sama. Ibarat seberkas kayu yang sukar dipatahkan berbanding sebatang, umpama seekor kambing yang lagi mudah dibaham sang serigala, berbanding sekelompok yang banyak.

Dan kali ini senyumanku makin melebar, kerana aku rasa hipotesis eksperimenku sudah nampak bayangnya. Dan tautan ini, letaknya bukan sekadar berjumpa muka dan berpelukan, tetapi ikatannya di hati, takkan malap walau dipisah oleh Perlembahan Nil, yang mana method untuk merapatkannya adalah melalui perkongsian suka duka dan ujian, berutus khabar dan masalah, memaafkan dan saling berlapang dada , ifthar makan setalam bersama jika berkelapangan, berusaha menggembirakan hatinya, dan paling penting, saling mendoakan mereka di dalam solat!

Tanpa disedari, setitik demi setitik manik jernih menuruni pipiku. Ya Allah, banyaknya nikmatMu, banyaknya rezekiMu. Terima kasih Ya Allah!!! Sungguh, Engkau mentarbiyyahku dengan halus sekali~

~Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul untuk mencurahkan mahabbah hanya kepada-Mu, bertemu untuk taat kepada-Mu, bersatu dalam rangka menyeru (di jalan-Mu), dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu,maka kuatkanlah ikatan pertaliannya, Ya Allah, abadikanlah kasih sayangnya, tunjukkanlah jalannya dan penuhilah dengan cahaya-Mu yang tak pernah redup, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepada-Mu, hidupkanlah dengan maarifat-Mu, dan matikanlah dalam keadaan syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya, Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ameen~

3 comments:

Untuk maklumat sahabat yg xtahu, niha mmg panggil mami ye dengan panggilan "BONDA".

Ala-ala istana gitu.. ahaha


"Ketika aku sudah bertatih jatuh dan bangun, mulutku pandai berkata-kata, aku bertanya pada bonda tercinta. "Dari mana datangnya kita ya bonda?"

Maka ratuku itu menjawab, "Kamu keluar dari perut bonda sayang."

"Oh, kalau begitu, pasti perut bonda sangat besar sewaktu ku masih di dalamnya!""

Baru pandai cakap dah skema gle... ahaha!


Ha.. letak la gamba bonda. Mahu nengok jua..

haha...shie, hyperbola sih umo kecik2 da skimau cakap. sbb tu bile besar jd perosak bahase brjaye gamaknye~

bonda=nda. so,pggilan di rumah akan jadi,nda. moh dtg umah,konpem korang boleh pggl nda ku dgn pggln tu jgk...otomatik akn ade bonda sendirik~ =)

alamak,die low profile... xpe2,nex time leh jmpe face to face punye...

a'ah..pelik lak..huhu..arina ke? nape kat group xpernah nampak kamu menulis ek?huhu