15 September 2010

Raikan Cinta


“ Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untukmu pasangan dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya.

Dan dijadikanNya di antara kamu (suami-isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan.

Sesungguhnya yang demikian itu adalah keterangan (yang nyata) bagi orang-orang yang berfikir "
- Ar-Rum : Ayat 21


Teristimewa buat kedua-dua. Setulus rasa, moga bahagia selama-lama.


Heningnya
Sunyi suasana
Lafaz sakinah bermula

Apa rasa
Diterjemah hanya
Sebak abah, tangis ibunda

Adalah aku, wali puteriku
Serah kini amanahku ini pada mu
Nafkahilah dia, curah kasih dan cinta
Lebih dari yang ku berikan kepadanya

Dulu esakkannya sandar di bahuku
Tangisannya kini ku serah padamu
Bukan bermakna, dia bukan milikku
Fitrahnya perlukanmu

Jadikanlah dia wanita syurga
Mengerti benar akan maharnya
Taat itu bukan hanya pada nama
Indah ia pada maksudnya

Ku akur
Akan pesanmu
Puterimu kini amanahku

Iringilah
Dengan doamu
Bahagia kami dari redhamu

- Fadzil Far East


Saat majlis begini berlangsung
Bukan sedikit gembira yang dirasa
Tapi
Bukan sedikit juga tangis dan sebak di dada
Ibu, ayah, keluarga, sahabat handai,
Semua merasa yang sama
Manjanya dia, bukan lagi milik kami semua
Maka, wahai sang lelaki
Bila mana, saat terasa untuk mengabaikan haknya, ingatlah
Betapa banyak jiwa yang akan terluka
Kami layarkan sepenuh harapan
Didoakan kalian, sampai ke perhentian

Dunia memang penjara buat mukmin. Tak pernah mengizinkan kita bercinta lama-lama. Ayuh tentera Allah, kita berjuang sungguh-sungguh, kemudian kita berteduh sama-sama di syurga!

“Dari setinggi dan seluas kasih sayangMu,
Kau limpahkan rahmat jua keampunanMu
Kepada pengantin suami isteri.
Berkatilah majlis yang diadakan dengan keberkatan
Dari permulaan hingga pengakhirnya.

Sesungguhnya pertemuan ini adalah dengan izinMu,
Kurniakanlah keduanya ketenangan, kebahagiaan dan jiwa yang tabah menghadapi setiap dugaanMu.
Mudah-mudahan perkongsian hidup yang dibina berkekalan
Hingga ke akhir usia
Dan kurniakanlah kepada mereka zuriat yang soleh dan solehah.
Dengan taufik dan hidayahMu beruntunglah keduanya
Dalam kehidupan di dunia
Lebih-lebih lagi di akhirat "

- Amin Ya Rabbal ‘Alamin -



Salihah & Abg Dzulhuzmi

Kami sayang kamu berdua sungguh-sungguh!
-Myteam Muttaqin-

12 July 2010

Mata-mata Rantai Perjuangan

AL MURAABITUN

Muqaddimah

Umat Islam yang diamanahkan untuk mentadbir dunia sudah tentu memerlukan pendukung yang komited dan memiliki tasawur Islam yang jelas. Pendukung-pendukung dan pejuang-pejuang yang berjiwa besar ini hendaklah bersedia untuk berkorban masa, harta dan jiwa untuk mempastikan Islam diletakkan di tempatnya yang tinggi lagi mulia.

Sudah sekian lamanya PAS berusaha dan berjihad untuk mendaulatkan Islam di bumi Malaysia yang bertuah ini. Alhamdulillah, sejak akhir-akhir ini seruan dan laungan PAS telah menampakkan petanda positif penerimaan ummah.

Sokongan ini hendaklah dipertahankan dan dipertingkatkan agar seluruh umat Islam khususnya dan manusia amnya dapat menerima dan menikmati keadilan dan kebenaran serta kesejahteraan yang dijuarai oleh Islam.

Tugas dan tanggungjawab yang besar lagi berat ini hendaklah dipikul oleh para petugas sepenuh masa yang diistilahkan sebagai Al-Murabitun.

KONSEP AL-MURABITUN

Apabila Islam semain berkembang maka menjadi suatu keperluan untuk menjaga keutuhan pemerintahan dan mempertahankan sempadannya sepanjang masa daripada diancam oleh musuh. Kumpulan mukmin yang bertugas sepenuh masa ini dikenali sebagai al-Murabitun.

Kalimah ini juga digunakan bagi merujuk kepada orang-orang beriman yang berkekalan di dalam Masjid Nabawi selepas solat Maghrib untuk menunggu solat Isya’.

Takrifan di atas bolehlah dirumuskan bahawa al-Murabitun itu adalah kumpulan mukmin yang bertugas sepenuh masa untuk tujuan-tujuan tertentu. Apabila sesuatu tugas itu dilaksanakan secara sepenuh masa maka sudah tentu ianya merangkumi sumbangan masa, tenaga dan pemikiran.

Allah s.w.t. berfirman, maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

(Ali ‘Imran: 200)

Daripada nas di atas, dapat difahami bahawa menyediakan petugas sepenuh masa “al-Murabitun” merupakan suatu kewajipan. Antara rasional kewajipan ini ialah:

a) tenaga perofesional
b) menjimatkan tenaga
c) menjimatkan kos

Apabila sesuatu golongan itu ditugaskan secara sepenuh masa maka sudah tentu akan lahirlah para petugas yang berpengalaman yang mana hasil dari pengalaman ini menjadiakn seseorang itu pakar dalam bidangnya dan disebut sebagai professional.

Aspek ini dianggap sangat penting untuk memastikan keberkesanan dan kejayaan yang optima. Iannya juga penting untuk memastikan kebolehpercayaan dan kesahihan sesuatu rancangan mahupun tindakan.

Petugas sepenuh masa tentu menjimatkan tenaga memandangkan tenaga pakar yang sedia ada tidak memerlukan tenaga gantian, dan factor ini sudah pasti boleh menjimatkan kos yang merupakan salah satu daripada ajaran Islam.

Tenaga-tenaga yang dimaksudkan di atas telah dijanjikan ganjaran oleh Rasulullah s.a.w. sebagaimana sabdanya yang bermaksud:

Daripada Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bermurabitunlah satu hari di jalan Allah lebih baik daripada dunia dan apa yang ada di atasnya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Maksudnya: Daripada ‘Aisyah, bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Dan bahawasanya sebaik-baik pekerjaan kepada Allah ialah yang paling berkekalan walaupun sedikit.”

(Riwayat al-Bukhari)

Kedua-dua hadith di atas memberi keyakinan kepada pendukung yang memahaminya untuk berkorban masa, tenaga dan jiwa demi kepentingan Islam dalam apa jua bidang yang ditugaskan.

KEPENTINGAN AL-MURABITUN DALAM GERAKAN ISLAM

Gerakan Islam masa kini menamakan al-Murabitun dengan al-Mutafarr’ghun. Adalah tanggungjawab al-Mutafarrighun masa kini agak mencabar dari masa-masa yang lampau memandangkan penyebaran Islam telah sampai ke segenap pelosok dunia serta pesatnya perkembangan teknologi moden.

Dengan meningkatnya tahap keintelektualan manusia, maka keperluan kepada al-Murabitun menjadi semakin mendesak lebih –lebih lagi bagi negeri-negeri yang belum berdaya maju.

Perkara ini berdasarkan kepada pengalaman beberapa buah negeri yang mula menerima Islam di mana factor penting kepada kejayaan tersebut disandarkankepada kesedaran rakyat hasil daripada pengorbanan al-Murabitun yang tidak jemu-jemu dalam menjalankan tugas.

Terdapat beberapa bidang yang memerlukan al-Murabitun di dalamnya antaranya:

1.Penyelidikan

Bidang ini amat penting diutamakan untuk merancang strategi, kedudukan dan tindakan yang bakal dilaksanakan seperti Jabatan Pilihanraya Negeri.

2.Pendidikan

Pendidikan memainkan peranan utama dalam menyedarkan rakyat jelata yang berbilang latar belakang maka keperluan kepada tokoh-tokoh yang bekerja sepenuh masa dalam bidang ini haruslah diutamakan seperti para mursyid dan nuqaba’.

3.Penerangan

Dalam melaksanakan prinsip menerang bukan menyerang kita memerlukan para murabitun yang terdiri dari tenaga-tenaga penceramah yang berkemampuan secukupnya.

4.Ekonomi

Tidak dinafikan bahawa bidang inipenting dalam menggerakkan jentera gerakan Islam. Justeru itu, kita memerlukan pakar-pakar ekonomi seeprti para usahawan yang bertugas sepenuh masa untuk membiayai program-program dan aktiviti-aktiviti gerakan Islam.

5.Perundangan

Pakar-pakar di bidang ini haruslah dilahirkan dan dikaderkan dalam bilangan yang mencukupi untuk mempastikan proses pemulihan kuasa dan pelaksanaan undang-undang Islam dapat dijalankan.

CABARAN DAN HALANGAN

Terdapat beberapa cabaran dan halangan untuk melahirkan para murabitun di setiap negeri antaranya:

a) sifat fasik dan jumud
b) tidak sanggup berkorban
c) tidak mempunyai tasawur yang jelas

PENUTUP

Kemenangan Islam dapat dilihat apabila cabaran-cabaran di atas dapat diatasi. Justeru, saya menyeru kepada semua pihak untuk membincangkan perkar di atas dan mencari jalan penyelesaian demi untuk memastikan keutuhan dan kekuatan gerakan Islam dapat diperkembangkan dari masa ke semasa.

10 June 2010

Muslimat Penggerak Kemenangan Penyelamat Ummah

UCAPTAMA KETUA DEWAN MUSLIMAT PAS PUSAT MUKTAMAR KE 50
Oleh: Ustazah Nuridah Mohd Salleh

Yang dikasihi Puan Pengerusi Majlis,

Yang Berbahagia pemerhati-pemerhati PAS Pusat bagi muktamar ini,

Yang dikasihi YB Timbalan Ketua DMPP beserta saf kepimpinan DMPP,

Yang dikasihi Ketua-Ketua DMP Negeri dan Ketua-Ketua DMP Kawasan beserta para perwakilan,

Yang dihormati Wakil-wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS dan para pemerhati,

Yang diraikan seluruh para tetamu yang terdiri daripada mantan-mantan Ketua DMPP, pimpinan pimpinan wanita PAKATAN RAKYAT, YB-YB wanita PAKATAN RAKYAT, Isteri-isteri pimpinan AJK PAS Pusat dan Pesuruhjaya- Pesuruhjaya Negeri, suami-suami AJK DMPP, veteran-veteran PAS, Wakil-wakil media, seterusnya para hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Para perwakilan, pemerhati dan tetamu yang dihormati sekalian,

BETULKAN NIAT KITA

Firman Allah SWT pada surah al-An’am: ayat 162; Yang bermaksud: “Katakanlah sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, kegiatan hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Pemelihara dan Pentadbir seluruh alam.”

Sekata dengan ayat tersebut marilah kita bersama berniat agar muktamar ini hanyalah untuk menyempurnakan pengabdian dan ketaatan kita kepada Allah SWT semata-mata. Semoga Allah SWT sentiasa memimpin dan memandu perjalanan muktamar kita ini menuju ke arah keredhaanNya jua.

Saya bagi pihak DMPP mengucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan izinNya majlis perasmian muktamar kali ini telah dapat disempurnakan bersama-sama dengan Dewan Ulama dan Dewan Pemuda pada malam tadi oleh Mursyidul Am, YAB Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kepada beliau kita mengucapkan jutaan terima kasih.

Saya juga mengalu-alukan kehadiran tuan-puan, saudara-saudari sekalian sejak dari malam tadi hinggalah ke pagi ini pada muktamar kita kali ini. Semoga dengan kehadiran semua akan dapat memeriahkan lagi dan melancarkan perjalanan muktamar kita ini serta berjaya merumuskan satu natijah yang cemerlang.

Para hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

PERUBAHAN YANG POSITIF

Buat pertama kalinya dalam sejarah PAS, muktamar Dewan-Dewan Ulama, Pemuda dan Muslimat kali ini diwakili oleh perwakilan yang diangkat daripada peringkat kawasan-kawasan seperti yang telah termaktub pada Perlembagaan PAS (Pindaan 2009). Bukan lagi perwakilan yang dipilih oleh muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri-Negeri seperti yang telah dijalankan pada masa lalu.

Saya bersama-sama dengan saf kepimpinan DMPP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh anggota parti yang telah berani membuat perubahan dan pembaharuan ini ke arah sebuah gerakan yang lebih demokratik.

Sememangnya PAS sebagai sebuah gerakan siasah dan dakwah merupakan satu gerakan massa yang bertunjangkan Islam yang dinamik , maju dan memberikan keadilan serta harapan untuk semua. Satu landasan Islam yang diperjuangkan secara istiqamah, iaitu Islam sebagai “ad-Deen” – satu cara hidup yang amat relevan untuk hari ini hingga datangnya hari kiamat.

Sebagai sebuah gerakan yang dinamik, PAS tentu sekali akan terdedah kepada perubahan dan pembaharuan mengikut keperluan semasa. Perubahan dan pembaharuan pada pendekatan dan tatacara gerak kerja yang berhikmah tanpa menggadai prinsip-prinsip Islam dan perjuangan parti.

Sebenarnya perubahan dan pembaharuan ini tidak menjejaskan matlamat perjuangan Islam, bahkan akan semakin menyemarakkan lagi arus perjalanan parti dan menggalakan setiap anggotanya agar proaktif dan siap-siaga sepanjang masa.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’dd: ayat 11; Yang bermaksud: “…. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Oleh itu besarlah harapan kita bersama agar perkembangan dan perubahan ini; iaitu penglibatan Dewan Muslimat PAS Kawasan-Kawasan secara langsung bermuhasabah dan merancang hala tuju di dalam muktamar DMPP, akan mencapai matlamatnya serta mengukuhkan parti.

Kita juga yakin bahawa perubahan dan pembaharuan yang berlaku ini akan membuahkan hasil yang baik bagi menjamin kelangsungan sebuah gerakan yang tersusun rapi; antaranya:

i. Menguat dan mengemaskinikan struktur organisasi parti,

ii. Mempereratkan ukhuwah Islamiyah di antara ahli-ahli dan pimpinan di semua peringkat,

iii. Ahli-Ahli akar umbi mendapat dan menerima amanat serta maklumat secara langsung dari peringkat tertinggi parti

iv. Merancakkan lagi aktiviti-aktiviti parti yang terancang disemua peringkat, setelah pimpinan DMPK mendapat input dan meneliti pelbagai pandangan yang telah dirumuskan oleh semua pihak terlibat,

v. Membantu dan memandu pimpinan tertinggi parti memahami permasalahan dan keperluan anggota parti di peringkat akar umbi,

vi. Melatih kepimpinan di peringkat akar umbi untuk bersedia menjadi anggota sebuah parti pemerintah yang prihatin terhadap suasana sekitar dan keperluan masyarakat,

vii. Menyerlahkan lagi PAS sebagai sebuah gerakan siasah dan dakwah yang demokratik serta dinamik.

Para hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

50 TAHUN PERJUANGAN MUSLIMAT

Sesungguhnya masa begitu cepat berlalu, secara sedar atau tidak muktamar kali ini adalah muktamar buat kali ke 50. Perjuangan muslimat telah mencapai ke usia emas. Adalah amat baik sekali kita menoleh ke belakang sejenak bagi memintas halangan dan melaju terus ke depan dengan yakin dan betul ke arah destinasi yang dituju.

Dalam usia emas ini, destinasi murni perjuangan kita di dunia ini seperti apa yang tercatat dalam Perlembagaan PAS, Fasal 5; iaitu memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah SWT, masih belum terhasil sepenuhnya.

Perjalanan kita masih jauh lagi ke depan, namun kita tetap bersyukur ke hadarat Ilahi, walaupun laluan yang kita tempuhi ini dipenuhi dengan onak dan duri. Kita masih lagi diberikan kesempatan, peluang dan kekuatan oleh Allah SWT untuk terus beristiqamah.

Perjuangan yang kita warisi ini dari para anbia’ merupakan sunnah perjuangan kebenaran yang berlikuliku yang menuntut kita terus istiqamah dan bergantung harap serta memohon pertolongan dari Ilahi.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah: ayat 42; Yang bermaksud: “ Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka akan mengikutimu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka…..”

Para hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

Di dalam medan pilihan raya telah terbukti para muslimat dengan izin Allah SWT menunjukkan prestasi gerak kerja yang cemerlang. Muslimat PAS terlibat terus dengan semua gerak kerja perancangan dan kempen serta tugasan di hari mengundi.

Penglibatan muslimat PAS dalam pilihan raya secara tradisi mampu menjadi satu “weightage” – nilai tambah bagi membantu kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat. Gerak kerja terancang muslimat menjadi satu aset penting dan strategik dalam menyusun jentera pilihan raya Pakatan Rakyat.

Muslimat PAS sanggup meredah bukit dan lurah, berpanas dan berhujan untuk sampai ke pengundipengundi yang akan disantuni dengan baik. Walaupun berbagai sindiran, tomahan keji dan maki hamun di lemparkan oleh mereka yang jahil dan terpengaruh dengan hasutan serta strategi jahat lawan.

Syabas! kepada para muslimat. Sebenarnya tiada siapa boleh menafikan bahawa kejayaan Pakatan Rakyat menghalang Barisan Nasional untuk mendapat jumlah kerusi dua pertiga di Parlimen, juga kejayaan Pakatan Rakyat menawan lima buah negeri pada PRU 12 lalu adalah sebahagian dari sumbangan dan titik peluh serta keringat anggota-anggota jentera pilihan raya muslimat PAS.

Oleh itu rakyat telah dapat melihat sendiri dan telah menjadi bukti kukuh bahawa penglibatan muslimat di dalam medan pilihan raya adalah sebagai penggerak kemenangan.

Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan berbanyak terima kasih kepada para muslimat yang terlibat sekalian di atas pengorbanan dan kesungguhan yang telah ditunjukkan, baik pada pilihan raya umum mahupun pilihan raya kecil.

Terkini pada Pilihan Raya Kecil Sibu, berkat dari pengorbanan dan komitmen yang telah diberikan oleh muslimat bersama kontinjen PAS bagi membantu kempen , Pakatan Rakyat telah berjaya menawan kerusi parlimen Sibu.

Sebenarnya Muslimat PAS mampu berganding bahu bersama Pakatan Rakyat dalam menjayakan hasrat bagi membawa harapan baru untuk Malaysia. Muslimat PAS bersedia bersama pemimpin wanita Pakatan Rakyat yang lain untuk memimpin wanita di seluruh Malaysia mengorak langkah menuju ke arah Malaysia yang adil, sejahtera dan berkebajikan untuk rakyatnya.

Justeru itu Muslimat PAS mestilah terus bangkit menyusun saf, siap-siaga memperkemaskan diri untuk mendepani tugas dan tanggungjawab yang telah lama kita pikul bersama. Tugas dan tanggungjawab siasah dan dakwah yang berjalan selari dengan segala kesungguhan.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj: ayat 78; Yang bermaksud: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang bersungguh-sungguh. Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agama Nya) dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama…”

Para hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

DASAR PENDEKATAN POLITIK PENYELAMAT

Pendukung dan penyokong PAS kini tidak lagi terbatas atau tertumpu pada sesuatu golongan saja. Kita telah sama-sama menyaksikan dengan izin Allah SWT Yang Maha Bijaksana, perjuangan PAS telah memecah tembok dan melampaui sempadan kaum, budaya dan agama. “PAS For All” – PAS untuk semua, sudah hampir menjadi kenyataan.

Sesungguhnya inilah satu nikmat dan kemuliaan yang telah dikurniakan oleh Allah SWT, Ya zal jala liwal ikram, pada pejuang-pejuang agamaNya. Setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Allah SWT Yang Maha Berkuasa terhadap pemberianNya itu.

Pada kesempatan ini, Dewan Muslimat ingin mengulangi beberapa dasar utama yang menjadi pegangan parti kita. Dasar-dasar yang telah teruji dan telah menjadi penyelamat politik negara yang kini sudah hampir hancur. Keadaan negara sekarang sebenarnya sebagaimana yang telah digambarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Idris Jala boleh jadi bankrupt dalam tempoh 9 tahun lagi, hanya kerana tidak cermat dan telus mengurus strategi pemberian subsidi.

Dasar-dasar utama yang telah disepakati itu haruslah kita hazam dan hayati agar kita tidak akan mudah terpesong dengan umpan dan pujukan serta diperalatkan oleh lawan atau musuh kita. Antara nya ialah:

* Muwajahah silmiyah – perjuangan secara aman

Dewan Muslimat akan terus istiqamah dengan dasar muwajahah silmiyah yang didukung oleh PAS di bawah kepimpinan Ulama’. Komitmen kita teguh terhadap perjuangan dengan mengambil pendekatan aman dan menafaatkan peluang suasana demokratik dalam menyelesaikan permasalahan ummah.

Dasar perjuangan yang mengutamakan kebijaksanaan menangani permasalahan secara bermesyuarah di meja perundingan, memberikan penerangan dan berjuang di pentas rakyat, berdakwah dan berdebat serta berhujah di Dewan Undangan Negeri dan Parlimen.

* Muttaqin na imaama – pemimpin yang bertaqwa

Dewan Muslimat akan terus mempertahankan konsep kepimpinan Ulama’. Kita akan terus berjuang di bawah kepimpinan yang bertaqwa kerana taqwa sajalah dapat mendekatkan diri kita dengan Allah Rabbul Jalil dan mendapat kemenangan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT di dalam surah an- Nur: ayat 52; Yang bermaksud: “ Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, dan takut melanggar perintah Allah serta bertaqwa (menjaga diri dari azab Allah), maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan.”

Sesungguhnya tanpa taqwa kita akan mudah tertipu oleh bisikan hawa nafsu yang tidak mengenal batas serta tipu muslihat dan hasutan syaitan yang durjana. Walaupun kita mungkin cemerlang di bidang akademik, pakar dalam perniagaan, cekap dalam pengurusan, tiada sesiapa yang dapat menolong kita dari ketelanjuran tanpa hidayah serta taufik dari Allah SWT.

* Tahaluf siasi – kerjasama politik

Dewan Muslimat akan terus mendukung dasar tahaluf siasi yang dilaksanakan oleh PAS Pusat. Kita akan bersama-sama mengukuhkan penglibatan dan sumbangan Dewan Himpunan Penyokong PAS dan bersama-sama berperanan dalam Pakatan Rakyat.

Kita juga tidak menyokong sama sekali sebarang kerjasama politik dengan UMNO dan Barisan Nasional yang telah mengkhianati amanah rakyat serta sangat memusuhi perjuangan kita. Namun kita masih bersedia membuka pintu dialog dengan sesiapa saja demi menjaga maslahah dan kesejahteraan ummah.

Sikap terbuka ini selari dengan peruntukan dalam Perlembagaan PAS (Pindaan 2009) pada Fasal 6 ceraian (11) yang menegaskan bahawa PAS akan melakukan apa-apa jua usaha dan tindakan dalam batas-batas Perlembagaan dan Undang-Undang Negara bagi mencapai semua tujuan-tujuan PAS ke dalam dan ke luar.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nahli: ayat 125; Yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

* PAS for all – PAS untuk semua

Dewan Muslimat akan terus mendukung dasar dan strategi terbuka “Pas For All”. Keyakinan dan sokongan bukan Islam atau belum muslim terhadap kita di dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS sendiri ataupun NGO-NGO di luar akan diperteguhkan.

Kita akan mempereratkan hubungan dan dialog antara budaya dan agama dengan berbagai golongan dan etnik minoriti bukan Islam. Muslimat peringkat akar umbi akan diminta mendekati dan menyantuni kalangan minoriti yang tertindas serta melebarkan ruang dakwah Islamiyah pada kesempatan yang ada.

* Negara berkebajikan

Dewan Muslimat akan terus menjadikan kebajikan rakyat antara agenda utama gerak kerja terancang. Selama ini kerja-kerja kebajikan telah dapat menjernihkan pandangan serong dan label-label jahat yang ditanam oleh musuh kita kepada masyarakat awam. Agenda membantu rakyat miskin ini akan berterusan tanpa mengira musim. Adalah menjadi tuntutan Islam untuk kita membantu golongan miskin dan tertindas ini.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Maidah: ayat 48; Yang bermaksud: “…. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebajikan (beriman dan beramal soleh)..…”

Kemiskinan yang berleluasa terutama di luar bandar dan penempatan peneroka di pinggiran bandar bukan saja dalam bentuk miskin harta malah juga miskin aqidah. Dewan Muslimat akan bersama-sama meneruskan misi dakwah dan kuliah-kuliah pengajian awam bagi membantu mereka keluar dari kejahilan.

Para hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

DAKWAH JATI DIRI HIDUP MUSLIMAT

Seringkali kita diingatkan bahawa kerja-kerja dakwah, iaitu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah perbuatan mungkar adalah jati diri ataupun “core business” kita.

Sebenarnya dengan melaksanakan tugas amar makruf nahi mungkar ini sajalah satu-satunya ciri yang selamat untuk melayakkan kita menjadi sebaik-baik umat serta penyelamat umat. Juga melayakkan kita untuk mendapat pertolongan dari Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam surah ali Imran: ayat 110; Yang bermaksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang keluar kepada manusia, kamu menyuruh kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.”

Dakwah Islam mesti bergerak tanpa henti dan terus meresap masuk ke dalam jiwa manusia di luar sana. Disamping tidak mengabaikan tarbiyah di kalangan ahli-ahli muslimat sendiri, program-program keluar yang menyentuh isu-isu kehidupan sekitar masyarakat bagi memantapkan aqidah dan iman hendaklah diketengahkan dan disusun dengan rapi.

Pendekatan yang kreatif dalam menyaji hidangan dakwah yang berunsur hiburan bersahaja tetapi menyelitkan pendidikan akhlak terutama untuk menarik para remaja kini yang semakin terpesong dari landasan Islam hendaklah dijana dengan penglibatan remaja itu sendiri.

Sesungguhnya kemelut maksiat dan kemungkaran yang berleluasa kini dalam bentuk gejala penderaan pembuangan bayi, lari dari rumah, berzina, sakit mental dan kemurungan, penyalah gunaan dadah berbahaya dilihat bertambah serius, menunjukkan keperluan dan tugas dakwah menjadi amat penting bagi merawat barah penyakit sosial ini.

Dewan Muslimat mengajak semua terlibat, badan-badan amal dan dakwah, NGO kebajikan dan sukarelawan, institusi pembangunan modal insan awan dan swasta, juga institusi berwajib di pihak pemerintah bersama-sama berganding bahu melaksanakan agenda besar merawat barah sosial ini.

Dewan Muslimat juga ingin menegaskan bahawa sebarang pendekatan bagi mendepani kemelut sosial ini perlulah selaras dengan prinsip-prinsip fitrah kejadian manusia itu sendiri. Antaranya ialah;


* Pengabdian diri kepada Allah SWT

Pengabdian diri kerana Allah semata-mata adalah teras kepada kesedaran bagi mereka yang telah terpesong untuk mengenali diri dan pulang ke pangkal jalan. Prinsip asas dari rukun iman yang pertama ini akan menyedarkan mereka kepada tanggungjawab terhadap Allah SWT daripada terus terpesong hanya mengejar kemasyhuran dan nama, wang ringgit dan harta benda, pangkat dan kemewahan dunia.

Kesedaran terhadap tanggungjawab mereka kepada Allah disamping mengenali diri sebagai hamba Allah, akan dapat menghapus sifat-sifat mazmumah yang bertuhankan hawa nafsu.

* Ibadah yang penuh keikhlasan

Prinsip menunaikan ibadah dengan penuh keikhlasan ini dapat mengawal diri kita daripada melakukan pengkhianatan, penyelewangan dan penganiayaan terhadap sesama manusia. Prinsip dari rukun iman kedua iaitu percaya kepada malaikat ini akan menjadikan kita telus dan berhati-hati terhadap tindak-tanduk kita kerana keyakinan bahawa malaikat raqib dan atiq di kiri kanan kita sentiasa tidak leka dari mencatat segala amalan kita untuk dibentangkan di akhirat kelak.

* Kehidupan merupakan satu proses pembelajaran

Melayari bahtera kehidupan memerlukan kita belajar mendepani rintangan dan mencari panduan. Prinsip pembelajaran dari rukun iman ketiga iaitu percaya kepada kitab (al-Quran) ini memandu kita ke arah kesejahteraan dan kejayaan . Tanpa panduan wahyu dari Allah, kesudahan hidup kita akan kecewa kerana kita akan teraba-raba dalam kegelapan dan tidak berupaya menghadapi segala rintangan serta menjadi mangsa pada mereka yang lebih cerdik dan kuat dari kita.

* Makhluk ciptaan Allah memerlukan kepimpinan

Kehidupan manusia akan terumbang-ambing tanpa kepimpinan. Prinsip kepimpinan dari rukun iman keempat iaitu percaya kepada Rasul, akan membimbing kehidupan kita ke matlamat kesejahteraan di dunia dan akhirat. Rasul yang diutuskan oleh Allah sebagi “uswatun hasanah” – contoh teladan yang perlu diikuti. Contoh teladan yang dapat menyelamatkan kita dari kemusnahan.

* Mencapai kejayaan perlukan wawasan

Melayari bahtera kehidupan memerlukan wawasan atau matlamat dan destinasi yang hendak dituju. Prinsip ini dari rukun iman kelima iaitu percaya kepada hari akhirat melahirkan manusia yang tahu kemana arah yang hendak dituju. Wawasan yang akan melahirkan manusia yang sentiasa menghitung setiap tindak-tanduknya agar mencapai matlamat yang dituju dengan jayanya. Wawasan ini juga akan dapat memelihara kita dari tersasar dan keluar dari landasan sebenar.

* Wawasan perlu kepada keyakinan dan keupayaan mencapai matlamat

Mencapai wawasan yang kita idam-idamkan perlu kepada keyakinan diri dan keupayaan kita berusaha sampai ke matlamat yang dituju. Prinsip dari rukun iman keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar Allah dapat memandu dan membantu kita ke arah kejayaan. Allah SWT Maha Pencipta sudah pasti Maha Mengetahui akan keperluan yang terbaik untuk makhluk ciptaanNya. Di atas qada dan qadarNya kita diberikan al-Quran sebagai panduan dan Rasul sebagai pemudah cara.

Semua keperluan manusia telah dicukupkan oleh Allah SWT. Lantas tiada apa lagi yang kita perlukan, kecuali hanyalah kurniaan dan lempah rahmatNya.

Para hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian,

MERUNTUH JURANG YANG MELEMAHKAN

Muslimat PAS mesti keluar dari budaya negatif yang merugikan jamaah kita. Jauhilah sikap mencari kesalahan sahabat seperjuangan di dalam jamaah hanya disebabkan perselisihan pendapat. Bagi kita kepelbagaian pendapat dan pendekatan adalah satu rahmat. Ianya perlu bijak diuruskan pada landasan syarak agar menghasilkan rumusan serta natijah yang cemerlang.

Hindarilah budaya hanya pandai memberi kritikan melulu yang tidak berhemah, menyakiti hati sesama anggota jamaah yang akan menghilangkan rasa hormat terhadap pemimpin dan orang yang dipimpin. Semua kritikan bernas mestilah disusuli dengan tindakan yang berkesan dan praktikal. Utamakanlah akhlak berjamaah dalam segala urusan setiap masa, agar kita dapat menghimpun sebanyak mungkin pahala berjamaah untuk bekalan kita di akhirat kelak.

Firman Allah SWT di dalan surah al-Baqarah: ayat 195; Yang bermaksud: “ Dan infakkanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Semestinya para pendukung PAS perlu menghindari budaya mempercayai berita-berita negatif angkara propaganda media tajaan musuh Islam tanpa usul periksa terlebih dulu dari mana puncanya berita itu. Saranan keperluan berhati-hati terhadap berita ini dirakamkan oleh Allah SWT pada al-Quran di dalam surah al-Hujuraat: ayat 6; Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”

PENUTUP

Muslimat yang dikasihi sekalian, sedarilah bahawa apapun jawatan yang diamanahkan kepada kita, sama ada Ketua dan Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat di pelbagai peringkat, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, EXCO dan Ahli Parlimen mahupun Senator, jika kita hayati dan amalkan initipati dari dari ayat-ayat Allah SWT tersebut, insya Allah kita akan berada pada jalan yang betul untuk mencapai keredhaanNya.

Penghayatan terhadap nilai-nilai yang luhur tersebut akan menyerlahkan kewibawaan kita serta meletakkan para pendukung muslimat PAS mampu memimpin dan menjana perubahan untuk kesejahteraan yang diingini oleh semua rakyat Malaysia.

Juga melayakkan kita memikul amanah besar yang tidak dapat dilaksanakan oleh makhluk-makhluk ciptaan Allah SWT yang lain. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzaab: ayat 72; Yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan (pada ketika itu) manusia sanggup memikulnya.”

Akhir sekali, marilah kita dengan segala rendah hati memohon agar Allah SWT memberkati Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat kali ke 50, supaya berjaya menjana rumusan dan tindakan susulan yang matang.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wa Salaamu’Alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Dewan Muslimat PAS Pusat.
Putik, Pengkalan Chepa,
Kelantan Darul Naim, 9 Jun 2010

28 May 2010

ANTARA SABAR DAN MENGELUH


Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.
"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?"
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"
Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

24 May 2010

C.U.T.I = Cuti Untuk Tingkatkan Iman

Cuti semester kembali lagi. Bagi kebanyakan mahasiswa/i khususnya di IPTA seluruh negara, inilah masa yang ditunggu-tunggu kerana azab bebanan sepanjang semester akhirnya dapat ditamatkan. Tetapi, bagi sesetengah mahasiswa pula, cuti merupakan masa yang terbaik untuk mereka menambah pengalaman dengan melakukan kerja separuh masa. Ada yang jadi pengawal keselamatan, guru tuisyen, pelayan di kedai-kedai makan dan tak kurang juga yang pulang ke kampung mengerjakan kebun dan sawah bendang. Juga, bagi sekelompok mahasiswa lain, termasuk rakan-rakan saya, cuti ini termasuk dalam sesi pengajian mereka dengan penglibatan dalam Latihan Industri.



Justeru, CUTI boleh didefinisikan dengan pelbagai maksud. Semuanya akan bergantung kepada sejauh mana cuti itu hendak dimanfaatkan. Sememangnya pengertian cuti ini memang berbeza-beza bagi semua orang. Ada yang meletakkan cuti sebagai masa terbaik untuk mereka berehat. Maka, CUTI = REHAT. Ada pula yang merasakan cutilah masa yang terbaik untuk menambah duit poket dengan bekerja di mana-mana agensi atau kedai. Maka, pada mereka CUTI = KERJA+DUIT POKET. Apa pula pengertian cuti pada saya?



Pada saya, apa jua CUTI itu hendak ditafsirkan, ia perlu ditimbangkan terhadap sejauh mana manfaatnya kembali pada seseorang. Jika dalam Situasi A, beliau merupakan seorang mahasiwa yang sangat aktif di kampus. Memegang jawatan tertinggi dalam beberapa persatuan dan masih menjadi AJK dalam persatuan yang lain. Malah, di bawah kelolaannya berjaya membawa Perdana Menteri Malaysia masuk ke dalam kampus untuk merasmikan majlis beliau. Namun, bila cuti menjelma seolah-olah tiada langsung kaitan persatuan dengan dirinya. Tidak ada sikit pun masa yang diambil untuk memikirkan masa depan persatuannya. Maka, adakah manfaat terhadap persatuan beliau jika begitu?



Akhirnya, semuanya akan berbalik kepada individu itu sendiri. Pada saya, walau apa pun cara cuti tersebut dihabiskan, apa yang penting adalah sejauh mana pengisiannya. Jika disia-siakan begitu sahaja, maka rugilah cuti yang ada sebulan atau dua. Maka, formula terbaik yang saya boleh fikirkan bagi CUTI adalah



C.U.T.I = Cuti Untuk Tingkatkan Iman



Maka, formula ini mengajak semua pembaca khususnya mahasiswa untuk menggunakan cuti yang ada dengan meningkatkan lagi pengisian diri. Baru la bermanfaat. Apa yang perlu dibuat untuk tambah pengisian? Mudah saja. Segala apa yang tidak berjaya dilaksanakan semasa sesi pengajian dek kerana masa yang begitu menghimpit, maka lakukan pada masa cuti. Contoh:



1. Solat 5 waktu berjemaah di surau/masjid

2. Mendengar tazkirah atau kuliah-kuliah maghrib/subuh di masjid

3. Menambahkan bacaan al-Quran setiap hari dengan konsisten

4. Menambahkan pembacaan buku

5. Mendapatkan maklumat semasa MALAYSIA dan DUNIA melalui medium akhbar/berita dll

6. Menziarah jiran tetangga/saudara mara

7. Menghadiri seminar atau ceramah umum

8. Dan beribu-ribu lagi aktiviti yang anda boleh lakukan



Mudah kan? Bukankah ini antara perkara-perkara yang menjadi alasan kebanyakan kita pada sesi pengajian dek kerana kesempitan masa belajar dan menghadap buku akademik? Maka, gunakan masa cuti sebaiknya untuk menambah lagi sisi hidup anda dengan perkara-perkara yang sepatutnya. Gunakan masa yang ada sebagai persediaan untuk sesi pengajian yang seterusnya, bukan dibazirkan begitu saja dengan bermain, tidur, menonton TV 24 jam dan seumpamanya. Mahasiswa merupakan aset penting MALAYSIA dan DUNIA yang menuntut setiap masa yang ada untuk dimanfaatkan.



Selamat bercuti saya ucapkan kepada semua.

Jangan biarkan REHAT menghantui masa CUTI anda yang sangat berharga.



Sekian.


M.Waliyuddin Bahza

Sains Makanan & Pemakanan

UKM Bangi

10 May 2010

Nasihat Buat Para Aktivis Dakwah

Port tarbiyah MYTEAM zaman dolu2..

Tarbiyyah bukan untuk orang yang malas.
Dakwah bukan untuk orang yang takut nak bergerak dan mencabar diri.
Tarbiyyah bukan untuk orang yang cepat bosan, lari, lompat-lompat, sekejap down-sekejap up, cepat terasa.
Tarbiyyah bukan bagi orang yang memilih program untuk dia ikuti yang senang dan mudah join, yang penat, bersusah payah elak.

Bukan untuk orang yang mencari tarbiyyah hanya bila terasa diuji oleh tuhan. Kalau tak, batang hidung pun tak nampak.
Bukan bagi yang meletakkan dakwah hanya untuk mencari calon akhawat atau ikhwah sebagai sang isteri dan suami,
-yang join hanya untuk meminta tolong teman-teman pencerahan bila dia dalam kesusahan. Tapi kesenangan dan kelebihan yang dia dapat, tak share pun dengan orang lain.
-yang cepat mengalah,
-yang meletakkan mabit, qiamullail, daurah, dan tathqif dalam diari hanya selepas ditolak dengan semua agenda dan upacara-upacara penting’ yang lain.
-yang hanya pandai cakap (dan menulis), tapi amal kosong
-yang hanya tahu compare jamaah itu dengan jamaah ini, yang boleh mengkritik dan menilai harakah ini dan itu.

Dakwah bukan untuk orang yang ikut liqa’ hanya kerana nak disebut sebagai ahli dalam harakah ini dan itu, jamaah ini dan itu.
Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh diberi tugasan last minute. Dakwah bukanlah untuk orang yang tak nak keluarkan duit, infaq di jalan Allah.
Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh sesekali tidur lewat, terpaksa berjalan jauh.
Dakwah bukan bagi orang yang kalau ada program untuk ikut terlibat, mesti naik motokar besar dan mewah, yang air-cond, dan laju. Yang tak nak naik bas, public transport, dan yang kena berpeluh-peluh.

Tarbiyah bukan untuk orang yang kena contact dan info dia setiap masa tentang perkembangan terkini sedangkan dia kena macam boss, hanya tunggu information.
Pencerahan bukan bagi mereka yang hanya nak berkawan dengan orang berduit dan berharta, yang hidup mewah, dan mengelak berkawan dengan orang susah, miskin, dan pakai comot.

Dakwah bukanlah untuk orang yang setiap masa dan ketika, kerja nak beri alasan ini dan itu. Penat, mengantuk, susah, banyak kerja, keluarga tak bagi keluar.
Tarbiyyah bukanlah segala-galanya. Tapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah. Tanpa anda, orang yang sering beralasan ini, dakwah akan terus berjalan. Islam akan tetap berjaya. Ummah akan tetap terpelihara.
Cuma tanpa pencerahan, Tanpa tarbiyyah, Tanpa dakwah Belum tentu kita akan berjaya di mahsyar nanti.
Tak mengapa. Teruskan hidup anda seperti biasa. Dakwah tak memerlukan anda. Tiada siapa pun yang rugi tanpa kehadiran anda.
Berbahagialah seadanya.

Saya menghitung diri. Terlalu kerap menuturkan. “saya busy..saya sibuk..saya penat..saya letih..”
Adakah ini petandanya saya terlalu manja?
Ya Allah, tabahkan hamba-Mu. “amanah ini bukan hak milik, tp anugerah dr Nya”

Sumber: AFN

4 May 2010

Isteri Perkasa


Saat bunga yang lain menyelimutkan anak dan suami di rumah, bunga ini merencana agenda ummah


Mereka mahukan muslimat perkasa
Yang mampu berdikari
Yang mampu bercakap di tengah demonstrasi
Yang lantang bersuara memberi pandangan
Yang mampu mempertahankan hak dan perjuangan


Cuma dia rasa seperti mahu bertanya


Mahukah mereka pada isteri perkasa?
Yang dirindu di tengah malam
Tapi siang tak kunjung pulang
Yang acapkali terkena sejuknya angin malam
Kadang-kadang panas terik dan juga hujan
Terpaksa bersaing dengan pelbagai kenderaan
Yang selalu memberi pandangan atau kritikan


Namun dia berserah dan cuba
Untuk tidak ambil kisah
Baginya dia mahu jadi seperti saidatina Fatimah
Kuat hatinya seperti Nusaybah
Penuh keibuan seperti saidatina Khadijah
Cerdik aqalnya sepeti saidatina Aishah
Agung cintanya seperti Rabiatul Adawiyah


Dan dia tak boleh duduk diam di dunia sekarang
Kerna musuh itu sedang menyerang
Sister in Islam, Secularisme, Pluralisme
Jadi dia perlu terus bergerak
Mempertahankan Islam dan kebenaran
Membantu para muslimin di medan juang
Walau kadang dia bertanya
Perlukah sebagai muslimat, isteri, ibu
Untuk terus berdiri di medan perjuangan?


Apapun dia sentiasa katakan pada diri
Bahawa hidup ini hanya untuk Tuhan
Manusia itu hanya sandaran
Jadi biarlah Tuhan yang menentukan
Cuma dia ada satu soalan untuk para pejuang
Jika mahukan muslimat perkasa,
Bersediakah menerima isteri perkasa?


@Busyral Huda

3 April 2010

Orientalis Tanam Bibit Perpecahan Ummat

Menulis sirah nabi SAW tanpa menggunakan "sanad" sebagaimana yang dilakukan oleh para orientalis dan penulis-penulis upahan,amat merbahaya bukan sahaja kepada kesahihan sesuatu fakta malah lebih jauh dari itu ialah boleh menyebabkan terputusnya hubungan antara ummah dengan Nabi Muhammad SAW

Kenapa orientalis mengenepikan kaedah sanad ini?hakikatnya mereka mempunyai agenda yang tersembunyi dalam mereka mengolah sesuatu fakta atau sejarah dan akhirnya boleh membawa umat Islam akhirnya terputus hubungan dengan Nabi SAW

Hakikatnya golongan ini sering menyerang ulamak-ulamak,mempertikaikan hadith-hadith Nabi SAW sehingga menggesa supaya kedudukan hadith nabi dikaji semula.kononnya mereka menyeru umat Islam hanya berpegang dengan Al-Quran sahaja.Penekanan yang diberikan bahawa Islam hanya bersumberkan dari Al-Quran

Dari ini maka lahirlah golongan anti hadith yang menular kedalam masyarakat samada kita sedar atau tidak.kemungkinan umat Islam suatu hari nanti akan meninggalkan solat tatkala hanya merujuk Al-Quran yang merupakan intisari kepada syariat ibadat solat.Sedangkan syariat ibadat solat yang selengkapnya datang daripada sunnah Nabi SAW kerana solat secara kaifiyatnya adalah bersumberkan Sunnah Nabi SAW

Selama dua hari berturut-turut Jibril mengajar Nabi SAW dengan mengerjakan ibadat solat dihadapan Nabi SAW.disitu Nabi SAW mempelajari secara terperinci segala syarat dan rukun solat

Kemuncak kepada maksud tersembunyi golongan ini apabila mereka berjaya meracuni umat Islam supaya meninggalkan solat bererti mereka telah meruntuhkan agamanya.nauzubillah..

Begitulah halusnya musuh merancang untuk menghancurkan umat Islam melaui doktrinisasi dan cara berfikir dengan memberikan pendapat yang menimbulkan perpecahan dikalangan ummah

Lajdat