30 June 2008

Jaga Aurat - Ada Makhluk Lain Mengintai Kita




Ada kisah seorang wanita yang suka memakai baju-baju seksi 'gila' di luar dan di dalam rumah. Satu ketika, wanita ini dikatakan terkena penyakit buatan orang. Puas berubat sana-sini, akhirnya bertemu dengan seorang imam yang pandai mengubat penyakit berkaitan sihir dan saka.

Imam itu memberi satu sahaja pesanan pada wanita itu - tutup aurat dan jaga solat 5 waktu, Insya Allah sihir akan mampu dibenteng. Sambil itu, wanita tadi terus berubat dengan imam tersebut.

Setelah dia cuba mematuhi kata-kata imam, lama-kelamaan dia dapat merasakan ketenangan dalam diri dan terhindar dari gangguan 'penyakit' yang dirasakan sebelum itu. Dia rasa seronok bertudung, walaupun sebelum ini rasa panas dan rimas dengan sehelai selendang nipis.

Solat pun sudah tidak pernah culas lagi. Sebelum ini telekung berlipat kemas dalam almari. Suaminya turut terkesan dengan perubahan isterinya, dan dia pun terdorong untuk berubah. Sudah tidak belengging dengan seluar pendek. Dia tidak halang isterinya menutup aurat. Cuma pesannya, kalau hendak tutup aurat, buat betul-betul. Jangan ikut trend dan belajarlah agama. Pasangan ini mencari guru yang dapat menerangkan hukum syariat supaya tidak bosan beramal.



Di sinilah hikmah Allah mewajibkan semua wanita dan juga lelaki supaya menutup aurat seperti mana yang telah ditetapkan oleh syarak. Kerana apabila menutup aurat dan menjaga amal ibadah, kita akan didampingi oleh malaikat, dilindungi dari gangguan iblis, syaitan dan jin yang sentiasa mengintai peluang mengacau kita dalam apa jua keadaan.

Walau bersendirian, kita tetap perlu menjaga aurat di antara pusat dan lutut. Kita jangan 'perasan' kita seorang sahaja yang ada di bilik air, tandas, atau dalam bilik tidur, sebab ada makhluk lain yang lebih ramai. Kita tak nampak dengan mata kasar mengelilingi kita iaitu malaikat, jin, syaitan dan iblis.

Malaikat tidak akan mendekati kita apabila kita membuka aurat kerana malaikat sangat pemalu, seperti terbukti dalam satu kisah Nabi SAW didatangi Malaikat Jibril sewaktu baginda sedang bersama dengan Khadijah. Apabila Nabi SAW memberitahu Khadijah mengenai kedatangan Jibril, Khadijah meminta Nabi masuk ke dalam jubahnya (jubah Khadijah).

Kemudian dia bertanya Nabi SAW sama ada masih melihat Jibril, Nabi SAW menjawab 'Tidak'. Maka, Khadijah pun yakin yang datang itu malaikat, bukan syaitan, kerana malaikat tidak akan melihat aurat manusia.

Kepada para wanita, bagi melindungi diri dari gangguan iblis, syaitan dan jin dalam apa jua bentuk termasuk sihir, saka dan pelalau, kuatkanlah jiwa dengan iman, jaga amal ibadah yang telah Allah tetapkan, serta perbanyakkanlah amalan sunat dan zikrullah.



Suburkan peribadi dengan sifat-sifat mahmudah (sifat-sifat baik) seperti selalu bersangka baik dengan apa jua yang berlaku. Jangan mudah hasad dengki, jaga mulut jangan celupar, mata jangan menjeling dan menjegil ketika memandang orang. Akal pula perlu disuburkan dengan pemikiran yang baik-baik kerana semua ini akan mendorong jiwa jadi kuat.

Hati kena benar-benar tulus dan ikhlas, niatkan apa jua kerja kerana Allah dan dimulakan dengan basmalah di samping doa-doa lain. Sesungguhnya jin sangat susah mendekati orang yang ikhlas.

Tegasnya, langkah keselamatan untuk melindungi diri dari gangguan jin dan syaitan ialah dengan beramal bersungguh-sungguh dengan setiap perintah Allah. Tinggalkan sungguh-sungguh apa yang Allah larang. Sibukkan hati dengan zikrullah dalam aktiviti harian supaya ruang tenang itu tidak dapat dicelah oleh makhluk durjana.

Jalilah Ahmad
Editor Majalah Anis

6 June 2008

Pengusaha Lori Naik Caj Sebanyak 35%

5 Jun (Edisi7) - Hampir semua syarikat pengusaha lori mengumumkan kenaikkan caj pengangkutan barangan sebanyak 35%.

Kenyataan itu difaxkan ke bilik berita NTV7 dari Persatuan Pengusaha-pengusaha Lori Selangor dan Kuala Lumpur yang menyatakan kenaikkan 35% itu berkuat kuasa serta merta.

Persatuan terbabit memberi alasan, kenaikkan harga disel dari RM1.58 ke RM2.58 terlalu tinggi dan membebankan mereka. Sehubungan itu persatuan terbabit tiada cara lain selain menaikkan caj kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan lori.

Selain Kuala Lumpur dan Selangor, kenaikkan 35% turut dikenakan syarikat pengusaha lori di Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Johor Bahru.


Tindakan itu dilihat boleh mendorong peniaga menaikkan harga barang kerana kos pengangkutan yang ditanggung mereka meningkat dan pastinya beban tersebuta akan turut dirasai oleh pengguna yang sebelum ini dibebani dengan kenaikan minyak bermula tengah malam tadi.


Ulasan :

Ape je barang yg tak gune lori? Sayur, ikan, ayam, lombu, getah, sawit.. Senang cite, semua lah! Moh le same-same kite ternak kude plak...

Ku tertanya-tanya, bakpo krajaan nk naekkn arge, sedangkan diorang dah kayo?



Maksud : Apabila pemimpin dan alim ulama menyembunyikan agama Allah (batasan pergaulan, sukan bukan cara Islam, lesen kilang arak, judi dan pelacuran, hudud, filem | drama | pgrm tv pnuh ma'siat, kewangan; tidak dijelaskan kepada rakyat akan halal dan haramnya), maka Allah laknat mereka. Bahkah segala makhluk (batu, kayu, pokok, miyak, air, angin, kambing.. segala yg makhluk la) laknat jua.

Lantas, duit yg berjuta rasa tak cukup. Bertelagah antara ahli, dll.

PILIH ISLAM. ISLAM JAGA SEMUA, MELAYU, CINA, INDIA

How to? Sokong Parti Islam, bukan Parti Bangsa

3 June 2008

Sejarah Penubuhan PAS : Siri I

Muqaddimah Kesinambungan
Oleh : Ibnu Hasyim

PAS adalah singkatan dari Parti Islam Se Malaysia. Perjuangan PAS adalah kesinambungan dari perjuangan para Rasul dan Nabi-nabi. Bermula dari Adam AS (Alaihi Wassallam) hingga ke Nabi terakhir Muhammad SAW (Sallallahu Alaihi Wasallam). Disambung oleh khalifah-khalifah Ar-Rasyidin Abu Bakar RA (Radiyallahu An), Umar RA, Uthman RA, Ali RA, Khalifah-khalifah Bani Umayah, Bani Abasiah dan yang terakhir sekali kerajaan Uthmaniah di Turki.

Maka ulama-ulama pewaris para Nabi memegang amanah dan meneruskan perjuangan tersebut. Perjuangan PAS yang bertolak dari kalimat ‘La Ilaha Illallah’ secara seluruhannya berdasarkan kepada Al-Qur’an, As-sunnah dan tokoh-tokoh Khulafa Ar-Rasyidin. As-syahid Sayyid Qutb, dalam bukunya ‘Mu’allim Fit-thariq’ menyebutkan:

“... Tamaddun insan akan terjadi apabila hakimiah yang tertinggi dalam masyarakat itu diletakkan kepada Allah SWT (Subhanahu Wa Taala) semata-mata, tanpa wujudnya pengabdian atau ketaatan kepada selain daripadaNya.”


Di sinilah titik-titik pertemuan dalam perjuangan antara PAS dengan gerakan-gerakan Islam lain. Sehingga golongan-golongan beraliran seperti ini sering dicop atau dilebelkan ‘fundamentalis’. Contohnya, gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jamaat Islami di Pakistan, Masyumi di Indonesia dan lain-lain. Begitu juga fahaman Islam melalui gerakan pembaharuan Islam sejagat dengan arus menentang dan membebaskan diri dari penjajahan barat ke atas negara umat Islam.





Antaranya adalah ulama tiga serangkai Syed Jamaliddin Al-Afghani dan muridnya Syeikh Muhammad Abduh, serta Syed Rasyid Ridha di Asia Barat. Gerakan mereka melalui majalah ‘Al-Manar’ diterbitkan di Kaherah yang mengandungi makalah islah dalam bidang agama dan sosial. Begitu juga majalah ‘Al-Urwatul Wuthqa’ diterbitkan di Paris, yang banyak membincangkan isu-isu penjajahan. Gerakan islah mereka juga telah berjaya mendapat tempat di hati pelajar-pelajar Melayu di Timur Tengah, terutamanya dari Universiti Al-Azhar.

Pelajar-pelajar tersebut termasuk dari Indonesia telah menubuhkan persatuan dan menerbitkan akhbar ‘Seruan Al-Azhar’. Pengaruh ulama tiga serangkai tersebut mula merembas masuk ke Tanah Melayu pada awal kurun ke 20 berpusat di Singapura, Melaka dan Pulau Pinang. Angkatan pembaharuan ini telah muncul tahun 1906, dengan menerbitkan majalah ‘Al-Imam’ di Singapura. Tahun 1926 terbit pula majalah ‘Al-Ikhwan’.

Tahun 1925 akhbar ‘Edaran Zaman’ dan ‘Saudara’ pada tahun 1928. Semuanya terbit di Pulau Pinang. Angkatan tersebut dipimpin oleh Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Al-Hadi dan Haji Abbas Taha. Mereka berpendapat antaranya:

“Kelemahan umat Islam itu adalah disebabkan oleh penganut-penganutnya tidak mengikuti ajaran-ajaran Islam yang betul, sebagaimana terkandung di dalam Al-Qur’an dan Al-Hadith.”


Bukan itu sahaja, golongan reformasi ini telah berjaya menyedarkan masyarakat Melayu tentang betapa pentingnya menghapuskan penjajah barat bagi mewujudkan sebuah negara Islam yang merdeka. Mereka juga dikatakan berjaya mencetuskan revolusi intelektual di kalangan masyarakat Melayu yang akhirnya menubuhkan beberapa kesatuan bagi memajukan bangsa Melayu dan umat Islam pada tahun-tahun berikutnya.

Persatuan Melayu pertama bercorak politik secara nyata ditubuhkan di negara ini ialah Kesatuan Melayu Muda (KMM) pimpinan lbrahim Haji Yaakob. la ditubuhkan pada Mei 1937. Kesatuan ini ditubuhkan atas kesedaran mahu memperjuangkan kemerdekaan negara serta membebaskan Tanah Melayu daripada terus ditindas dan dijajah oleh penjajah British. Malangnya, kesatuan ini tidak dapat bertahan lama kerana ia telah diharamkan oleh Jepun semasa Jepun menguasai Tanah Melayu pada tahun 1941-1945.

Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua, sebuah parti politik baru Melayu dibentuk, iaitu Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) atau disebut juga Malay Nationalist Party (MNF). la ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di Ipoh, Perak. Pemimpin awalnya ialah Mokhtaruddin Lasso, yang kemudiannya berpindah tangan kepada Dr. Burhanuddin Al-Helmi dan Ishak Haji Muhammad. Dr Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang tokoh agama yang mampu menguasai bahasa Arab dan lnggeris disamping bahasa Melayu.



PKMM telah mengisytiharkan matlamatnya untuk mencapai kemerdekaan negara secara penuh. Dr. Burhanuddin banyak berkorban untuk PKMM dan beliau mendapat kepercayaan golongan agama untuk menyertai gerakan politik bagi menentang penjajah. PKMM telah berjaya perluaskan pengaruhnya dalam masyarakat Melayu sehingga ia berjaya menubuhkan pula beberapa sayap atau bahagian dalam struktur organisasinya. Selain Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Malaya (BATAS), Majlis Agama Tertingga Se-Malaya (MATA) juga merupakan antara sayap atau bahagian dalam struktur organisasi PKMM. MATA merupakan bahagian agama parti berkenaan.

N.J.Funston menyebutkan, tujuan utama penubuhan MATA adalah untuk mengekalkan pengawalan hal ehwal Islam oleh mana-mana pihak. Di dalam persidangannya, telah diisytiharkan tentang pemisahan hal-hal agama dari dikawal oleh mana-mana negeri secara persendirian. Mereka berpendapat, sultan-sultan tidak cekap membuat keputusan dalam hal-hal agama. Kongres telah mendesak supaya kuasa yang berkaitan dengan agama diserahkan kepada MATA . N.J.Funston. -Malay Politics In Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur.

Melalui MATA dalam satu mesyuarat agung tahunannya telah berjaya melahirkan ‘Hizbul Muslimin’ pada 14 Mac 1948, di Sekolah Agama Al-Ihya As-Syarif, Gunung Semanggul Perak. Tujuan PKMM melahirkan Hizbul Muslimin sebagai sayapnya adalah bagi mengumpulkan tenaga para ulama. Maka lahirlah sebuah parti Islam pertama di negara ini!

Matlamat utama ditubuhkan:

  1. Untuk mencapai kemerdekaan.
  2. Membina sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman Islam.
  3. Untuk mendirikan sebuah negara Islam atau Darul Islam.

Bagi mencapai ketiga-tiga matlamat ini, Hizbul Muslimin telah mengemukakan 7 lagi objektif.

  1. Untuk menimbulkan prinsip kesedaran politik di kalangan orang-orang Islam di Malaya.
  2. Untuk menyatupadukan umat Islam di bawah satu ideologi.
  3. Untuk menyokong kebebasan cetak, bersidang dan bersuara.
  4. Untuk menambah jumlah sekolah dan menyediakan jenis pendidikan menurut keinginan masyarakat pada waktu itu.
  5. Untuk mempertingkatkan akhlak orang-orang Melayu.
  6. Secara amnya, untuk menjaga kebajikan dan kedudukan ekonomi orang-orang Melayu.
  7. Tambahan pula ia sedia berkerjasama dengan parti-parti politik dan pergerakan Islam dari luar negeri.

Hizbul Muslimin atau Hamim dipimpin oleh antaranya:

Ust Abu Bakar Al Baqir, pengasas HAMIM

    1. Ketua Umum – Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.
    2. Naibnya - Ir.Haji Ariffin Alias dari Johor Bahru.
    3. Setiausaha - Ustaz Uthman Hamzah.
    4. Cik Gu Muhammad Daud Jamil dari Kelantan.
    5. 4 orang wakil :
      1. Ustaz Yahaya bin Abdullah selaku ketua.
      2. Ustaz Harun Fahmi Taib.
      3. Ustaz Baharudin Latif.
      4. Ustaz Uthman Hamzah.

Dalam pendiriannya, Hizbul Muslimin menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO. Bagaimanapun, riwayat hidup Hizbul Muslimin berakhir pada Ogos 1948 apabila British bertindak mengharamkannya disamping menahan seramai tujuh orang pucuk pimpinannya, termasuklah Ustaz Abu Bakar Al-Baqir sendiri di bawah Undang-undang Darurat atau Emergency Regulations.

Rupanya penyekatan, penekanan dan pengempangan ke atas arus kebangkitan Islam yang tidak dapat dibendung itu, secara tidak langsung membantu dan menambahkan lagi semangat untuk wujudnya parti Islam yang lain. Keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulama terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan. Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan mudah ke arah penubuhan PAS seterusnya.

Ada juga ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlu dihulurkan kepada Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, pemimpin MATA dan seterusnya Hizbul Muslimin, kerana mereka telah menggarap sebahagian besar dari ground work yang melebarkan persekitaran untuk memudahkan penubuhan PAS. Peranan Hizbul Muslimin dalam penubuhan PAS lebih tertonjol lagi apabila sebahagian besar dari bekas pucuk pimpinannya turut menyertai PAS dan memainkan peranan secara aktif.

Mereka antaranya termasuklah Ustaz Othman Hamzah yang pernah memegang beberapa jawatan penting dalam PAS, dan pernah berkhidmat sepenuh masa hingga ke akhir hayat dengan PAS. Begitu juga Ustaz Baharuddin Abd. Latiff, Tuan Haji Khaider Khatib dan Ustaz Yunus Haji Yatimi. Juga dikatakan besar kemungkinan Bahagian Agama UMNO yang dipimpin oleh Ustaz Ahmad Fuad Hassan turut diresapi dengan pengaruh Hizbul Muslimin ini. Tambahan lagi ramai pemimpin agama dalam UMNO ketika itu kecewa dengan pucuk pimpinan mereka yang bercadang untuk menaja perjudian (loteri).

Pegerakan reformasi ini dikatakan amat berpengaruh dalam masyarakat dan boleh menggugat pihak penjajah British pada waktu itu dan masa mendatang. Tuduhan ‘bahaya dari gunung’ atau ‘Red Islamic Party’ oleh Datuk Onn Jaafar tokoh UMNO, parti yang dibenarkan dan dibelai oleh penjajah waktu itu, adalah sebagai buktinya.

Apalagi bila kita melihat kepada kepada ‘janji Allah’ pada firman-firman di bawah ini...

    - ‘Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya parti Allah itulah yang mencapai kemenangan.’ Surah Al-Mujadalah ayat 22.

    - ‘Kami menjadikan kamu khalifah di muka bumi.’ Surah Yunus ayat 14.

    - ‘Kalau kamu menolong (agama) Allah, nescaya Allah akan menolong kamu.’ Surah Muhammad ayat 7.

    - ‘Mereka mahu memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan) mereka, dan Allah tidak mahu selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir itu tidak menyukai. Dia yang telah mengutuskan RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur’an) dan agama yang benar, untuk dimenangkannya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak suka.’ At-taubah ayat 32 & 33.


Maka bertambah lagi semangat ulama-ulama tersebut untuk menubuhkan parti Islam.



Rujukan:

1. N.J.Funston. Malay Politics In Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Kuala Lumpur.
2. Sayyid Qutb, ‘Mu’allim Fit-thariq’

**IBNU HASYIM adalah nama samaran bagi Hj Mohd Hj Hashim. Pernah menulis dibeberapa akhbar tempatan. Mantan Pengarang Majalah Al-Ummah dan pernah menghasilkan beberapa buah buku politik, sejarah dan agama. Dia boleh dilawat di http://www.ibnuhasyim.com

1 June 2008

~SIMBIOSIS... pembelajaran sepanjang hayat~



Aku menutup naskhah suci itu dengan penuh rasa kesyukuran. Sambil bibirku basah mengalun zikir, ku capai Z530i pemberian kakak kesayangan ku.

Jam pada waktu itu sudah menunjukkan angka 3.00 pagi, waktu yang ku kira adalah waktu yang terbaik untuk melelapkan sepasang mata ini. Namun entah kenapa, mataku ini masih gagah meniti kepekatan malam.

Aku segera mengambil wudhu’ dan mengerjakan beberapa rakaaat solat sunat. Mengambil kesempatan selayaknya, kerana kadang-kadang diri yang lemah ini tewas juga dengan godaan kantuk dan selimut tebal yang terlipat elok di atas katil itu.

Dan pada malam yang dingin dan damai itu, fikiranku mula menerawang sendiri, memikirkan mengenai diri ku sebagai hamba Allah yang diberi peluang menikmati hidup di bumi Nya ini selama 20 tahun. Dan dalam keluh kesahku dinihari itu, aku tersenyum saat terkenang cara didikan halus buat hambaMu ini. Maha suci diriMu… Maha Besar kuasaMu… Ya Allah…

Dilahirkan di dalam sebuah keluarga yang sederhana, aku sangat-sangat bersyukur dengan apa sahaja yang dikurniakan Nya kepadaku. Meniti alam kedewasaan, aku mula belajar menilai dan meneliti alam sekeliling, mengkaji simbiosis sesama makhluk hidup dan bukan hidup, menyusuri sunnatullah yang ditetapkan. Dan aku paling terkesan akan apa yang Dia terbiyyahkan melalui kebergantungan sesama ciptaan yang ditetapkan.



Ketika aku sudah bertatih jatuh dan bangun, mulutku pandai berkata-kata, aku bertanya pada bonda tercinta. "Dari mana datangnya kita ya bonda?"

Maka ratuku itu menjawab, "Kamu keluar dari perut bonda sayang."

"Oh, kalau begitu, pasti perut bonda sangat besar sewaktu ku masih di dalamnya!"

Dan dia tersenyum, sambil menyambung, "Kerana itu kamu perlu patuh dan taat pada bonda, sayangi bonda sepertimana bonda menyayangimu. Syurga di bawah telapak kaki ibu. Bonda tahu anak bonda ini baik, mesti nak masuk syurga kan? Jadi kena la buat baik, rajin, selalu tolong bonda"

Dan aku pun mengintai-ngintai di telapak kakinya, mencari rupa syurga di situ.

Kakakku pula menambah, "Kamu mesti sayang bonda 3 kali lebih dari abah!" Tuturnya seolah tahu semua perkara, merujuk apa yang Nabi Muhammad S.A.W sabdakan.

Dan aku menjawab lagi, "Wah, kasihanla abah, nanti mesti dia kecil hati, dan jealous jika tahu aku sayang bonda lebih dari dirinya!"

Dan kami ketawa bersama, sambil ku menggaru kepala memikirkan apa yang lucu ya?




Di kala aku masih hingusan, ku hafal hubungannya begini…

Rumput~ dimakan ulat.
Ulat~ dimakan ayam.
Ayam~ dimakan manusia.
Maka rantaian makanan nya putus.

Begitu sahajakah ??? Lantas, manusia dimakan siapa ya? Kalau begini,maka tidak hairan ada unsur kanibal, manusia dimakan dan memakan manusia, kerna jika rantainya putus di situ, maka yang paling berkuasa di muka bumi ini pastinya manusia. Waah~~ sudah hafal begini, kiranya aku sudah mendapat A untuk subjek Sains UPSR!

Menginjak ke alam baligh, aku teruskan minatku mengkaji hubungan ini. Ku perhatikan kiri dan kananku.


Hmm, nampaknya, hubungan sesama manusia tak putus di situ wahai diri! Lihat sekelilingmu, lelaki dan perempuan saling berhubung... Lelaki dan perempuan saling bertukar senyum, berbalas jeling, bertukar sapa, berutus surat pun ada. Wah, makin menarik nampaknya kajianku. Jika begini, maknanya ia berkadar songsang dengan teori kanibal zaman kecilmu.

Tapi, kenapa ya, hatiku menidakkan hubungan fitrah ini? Kata mereka, hubungan ini manis, kerna ada yang menyayangi diri kita, ada yang memuji dan memuja kita, ada yang memujuk saat diri merajuk.

Hmm, sudah ada ibu bapa yang boleh melakukan itu, malah boleh memberi lebih lagi. Sudah ada rakan sekepala sesama jantina, apa perlu kepada lelaki? Lantas, mengapa perlu ada hubungan sesama yang bukan mempunyai pertalian, malah berlawanan jenis lagi.

Kata Cikgu Farid, itulah manusia jika dikaji saintifiknya. Saling berlawanan cas, maka apabila cas positif dan negatif bertemu, maka jadilah macam magnet, melekat satu sama lain, tak boleh dipisah. Monolog hatiku, ”Cikgu, ni merenyam namanya, 3G~ gatal, gelenyar,geletah!” Dan aku serta rakan-rakan sekumpulan akan ketawa sendiri. Juga, dengan kefahamanku yang ini, maka aku mendapat tempat ke sekolah berasrama penuh.

Meneruskan eksperimenku, tapi kini dalam konteks yang lebih luas. Menginjak ke angka 16, 17 tahun, makin banyak yang ku tahu, dan dalam masa yang sama, makin banyak jua yang ku perlu pelajari. 'Semakin banyak ku tahu, semakin terserlah kebodohanku', begitu kata salah seorang imam 4 mazhab.



Tika ini juga aku pelajari, pendapat alam sekolah menengah tingkatan 1, 2, 3 ku dulu perlu disanggah. Lelaki dan perempuan itu, yang selayaknya halal adalah apabila disahkan nikah mereka, berakadkan mahar dan berwalikan bapa, abang, datuk, atau setarafnya. Maka dari situ, barulah akan berkembang zuriat yang dibenarkan syarak, di saat sperma berenang bertemu ovum, lalu menyusuri tiub fallopio, membahagi, samada satu, mahupun menjadi kembar dua yang seiras ataupun tidak, kemudian melekat di dinding endometrium, membesar, menerima nutrien secukupnya, dan setelah genap waktu yang ditetapkan, barulah lahir insan baru ke dunia ini, lalu menjalani proses yang sama, tetapi mungkin ceritanya berbeza denganku.

Wah, hebat! Hebat sungguh kuasaNya. Dan proses ini diulas di dalam kalamNya,

"Wahai manusia! Jika kamu meragukan (hari) kebangkitan, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani , kemudian dari segumpal darah, kemudian dari segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tak sempurna, agar Kami jelaskan kepada kamu, dan Kami tetapkan dalam rahim menurut kehendak Kami sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi....." (Al-hajj : 5)


Puas! Hatiku puas dengan penjelasan Ilahi yang terperinci mengenai susur galurku, juga manusia-manusia lain.

Nutfah-Alaqah-Mudghah-Tiupan roh-Implantation-Manusia dengan 46 kromosom!

Maka teori ini kurasa cukup jelas untuk mengkhabarkan mengenai perkembangan manusia dan interaksinya sesama persekitaran. Aku tersenyum lagi.

Kemudian, aku menjejakkan kaki ke alam matrikulasi. Alam pra-universiti, kata pensyarahku. Sedang fikiranku tertanam kukuh dengan teori biologiku itu, korneaku terpandang suatu fenomena baru.

Gadis-gadis seusiaku, tetapi penampilannya sedikit berbeza. Bertudung labuh, berjubah, sentiasa tersenyum dan menghulur salam, akan saling mencium pipi kiri dan kanan kawannya. Sementelah aku bukan sekolah agama, aku kira itu memang budayanya, budaya budak sekolah menengah agama, atau maahad!

Tiba-tiba mereka mahu berkawan denganku. Kata mereka, inilah yang dinamakan ukhuwwah, kita bertemu,berkasih sayang dan berpisah kerana Allah S.W.T. Aku pernah mendengar ayat ini, sewaktu sekolah menengah dulu, dituturkan naqibah usrahku. Hati ku sedikit tertarik, sementelah memang sudah lama aku mencari akan nikmat yang satu itu, nikmat persahabatan yang sudah lama hilang!



Bersama mereka, ku belajar sesuatu yang baru. Rakan sudah bertukar menjadi sahabat, study group bertukar menjadi liqa’, stay up sudah terisi dengan qiyamullail, bersukan ditukarganti ke riadhah, roti canai sekeping dua jadi lebih sedap jika dimakan berenam atau berlapan, solat lima waktuku sudah berjemaah di surau, ketua sudah jadi amir atau amirah, malah persahabatan itu sendiri menjadi ukhuwwah!

Dan yang paling baru, hidup kita bukan hanya diri kita, kita wajib mengambil tahu hal sahabat-sahabat yang lain. Bukanlah ertikata `sibuk badan’ atau englishnya busy body, tapi memang Allah sudah tetapkan begitu. Kita dijadikan Allah sebagai khalifah di muka bumiNya, yang bererti kita wajib berdakwah kepada sahabat-sahabat yang tidak tahu, ataupun sudah tahu, tetapi Allah uji sedikit hatinya dengan kelalaian. Kita sebagai dai’e, wajib menjalankan amar maaruf nahi mungkar terhadap para mad’u di sekeliling !

Errkk...DAKWAH? DAI’E? MAD’U?

Aku agak terpinga-pinga, tapi sahabat-sahabatku nampaknya sudah arif benar, ibaratnya sudah hadam sekali kata-kata dari Bukhari si amir masjid itu.

Dan sahabat-sahabatku yang mafhum akan kecetekan dan kedangkalan ilmuku, terus-terusan membantuku memahami akan semua itu. Gerak kerja jemaah, pentingnya melibatkan diri dengan jemaah, bagaimana untuk berdakwah secara berhemah, mengambil hati mad’u atau sasaran dakwah dengan sebetulnya, dan kerja-kerja Islam yang lain.

Dan paling penting, kata K.ngah selaku amirahku, kena ingat, kita buat kerja Islam ikhlas kerana Allah. Islam tak perlukan kita pun, tapi kita yang perlu terhegeh-hegeh hendakkan Islam.

Dan di sini, aku dapat relatekan kembali teori simbiosis ku dulu. Kebergantungan sesama manusia, akan menjadi semakin kuat apabila bergerak di dalam satu kumpulan, yang mana matlamatnya sama. Ibarat seberkas kayu yang sukar dipatahkan berbanding sebatang, umpama seekor kambing yang lagi mudah dibaham sang serigala, berbanding sekelompok yang banyak.

Dan kali ini senyumanku makin melebar, kerana aku rasa hipotesis eksperimenku sudah nampak bayangnya. Dan tautan ini, letaknya bukan sekadar berjumpa muka dan berpelukan, tetapi ikatannya di hati, takkan malap walau dipisah oleh Perlembahan Nil, yang mana method untuk merapatkannya adalah melalui perkongsian suka duka dan ujian, berutus khabar dan masalah, memaafkan dan saling berlapang dada , ifthar makan setalam bersama jika berkelapangan, berusaha menggembirakan hatinya, dan paling penting, saling mendoakan mereka di dalam solat!

Tanpa disedari, setitik demi setitik manik jernih menuruni pipiku. Ya Allah, banyaknya nikmatMu, banyaknya rezekiMu. Terima kasih Ya Allah!!! Sungguh, Engkau mentarbiyyahku dengan halus sekali~

~Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul untuk mencurahkan mahabbah hanya kepada-Mu, bertemu untuk taat kepada-Mu, bersatu dalam rangka menyeru (di jalan-Mu), dan berjanji setia untuk membela syariat-Mu,maka kuatkanlah ikatan pertaliannya, Ya Allah, abadikanlah kasih sayangnya, tunjukkanlah jalannya dan penuhilah dengan cahaya-Mu yang tak pernah redup, lapangkanlah dadanya dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepada-Mu, hidupkanlah dengan maarifat-Mu, dan matikanlah dalam keadaan syahid di jalan-Mu. Sesungguhnya, Engkau sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong. Ameen~