20 April 2011

Kita Bukan Sekadar Pembangkang, Kita Adalah Alternatif

Moga Gagasan Ini Terus Disambut Baik Oleh Para Pemuda
SUNDAY, APRIL 17, 2011
sumber



"Kita tidak boleh berfikir seputar tentang kalangan kita sahaja atau untuk kepentingan kelompok kita sahaja, sebaliknya kita mesti mula belajar berfikir tentang rakyat seluruhnya, berfikir tentang kebajikan bangsa bukan Melayu, memberati kepentingan orang bukan Islam, menjuarai isu-isu bukan agama, prihatin terhadap orang bukan PAS, bahkan mengambil berat persoalan-persoalan antarabangsa juga.



Kita mesti meninjau sama persoalan-persoalan yang lebih besar seperti pentadbiran negara, pengurusan ekonomi awam, perancangan dasar-dasar awam dan sebagainya, yang sedang mendesak kita untuk memiliki kemahiran-kemahiran tambahan. Ahli-ahli Pemuda mesti sentiasa memperdalami ilmu dalam pelbagai bidang, tidak terhenti dengan kemahiran agama yang menjadi fardhu 'ain sahaja, sebaliknya kemahiran keduniaan yang menjadi fardhu kifayah juga dipertingkatkan.



Kita mesti belajar untuk bergerak dalam satu pasukan kepimpinan yang berkesan, bukannya lagi secara individu. Kita sudah berupaya melahirkan murabithun di semua peringkat, tetapi malangnya kebolehan para murabithun untuk menjadi pemikir masih ditahap yang rendah. Kita tertunggu-tunggu pimpinan baru yang berupaya mencetuskan wawasan besar, berfikiran matang dan menjangkau jauh kehadapan. Kegagalan kita melahirkan pemimpin-pemikir (qiyadah-mufakkir) telah mengakibatkan kelesuan perjuangan kita.



Saya mencadangkan supaya pemimpin-pemimpin Pemuda yang ada supaya memulakan budaya penyelidikan melalui institusi-institusi persendirian. Lebih penting jika boleh mewujudkan pasukan pemikir dan institusi pemikir persendirian yang boleh membantu meningkatkan keupayaan kognitif kita dalam perjuangan. Kita melihat pemimpin-pemimpin besar dunia memiliki beberapa pusat kajian untuk membantu mereka menjadi pemimpin yang baik, dan tiada sebab untuk kita tidak memulakan langkah yang sama demi kecemerlangan gerakan kita.



Sesungguhnya usaha ini bukan sekadar persiapan untuk kita mengambil alih pemerintahan negara, tetapi juga untuk memenuhi keperluan kepemimpinan pada masa depan yang lebih mencabar.



Menjadi pembangkang yang berkesan di negara ini bukan bermaksud membangkang segalanya atau sentiasa ’membuat bising’ untuk menggugat kerajaan yang ada. Tetapi pembangkang yang berkesan ialah apabila kita boleh menjadi pembangkang berwibawa (credible opposition) dan pembangkang taat (loyal opposition), yang bersedia duduk semeja dengan kerajaan untuk kepentingan rakyat dan kita sanggup memberikan konsensus untuk kepentingan negara.



Kini perubahan zaman juga menuntut ulama’ supaya maju beberapa langkah lagi untuk memastikan peranan mereka lebih berkesan dan lebih relevan dalam dunia kontemporari. Ulama’ juga perlu lebih proaktif dalam meneliti fenomena masa kini, menangani kerencaman isu dan masalah moden, serta memimpin perubahan dalam masyarakat masa kini."


Petikan Ucapan Dasar YB Salahudin Ayub,
Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat Kali Ke-49
Stadium Indra Mulia, Ipoh, Perak
13 dan 14 Ogos 2008

15 April 2011

Sejarah Tuan Guru Haji Yusof Rawa (1922 - 2000) Bhg 1




Latar Belakang

Yusof bin Haji Abdullah dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922.

Bapanya adalah seorang pedagang yang merantau dari Sumatera berdagang Al-Quran, kitab-kitab dan alat-alat kegunaan untuk ibadat seperti tasbih, sejadah dan lain-lain.

Pendidikan awal Tuan Guru Yusof Rawa bermula di Sekolah Melayu Jalan Carnavon dan kemudiannya di Sekolah Charausta.

Pendidikan menengah beliau ialah di Government English School dan kemudiannya di Penang Free School sehingga lulus peringkat Junior Cambridge.

Selepas itu bapanya menghantar beliau ke Makkah untuk menuntut dalam bidang agama.

Semasa tercetusnya Perang Dunia Kedua, Tuan Guru Yusof Rawa terus menetap di Makkah untuk mendalami pengetahuan agama. Beliau menetap di sana selama 12 tahun.

Menghadapi Ujian

Semasa Jepun menyerang Tanah Melayu, kawasan tempat tinggal keluarga Tuan Guru Yusof Rawa dihujani dengan bom dari pesawat udara Jepun.

Bapanya, Hj Abdullah Hj Nordin sempat menyelamatkan anak-anak dan isterinya.

Walau bagaimanapun, tatkala keluar sekali lagi untuk mengambil sesuatu yang masih tertinggal di kedainya, sebutir bom gugur dekat dengannya.

Hj Abdullah terkorban dan tubuhnya berkecai.

Peristiwa itu berlaku semasa Tuan Guru Yusof Rawa berada di Makkah.

Semasa di Makkah di zaman remajanya, Tuan Guru Yusof Rawa juga pernah diburu oleh pihak polis Masjidil Haram. Beliau terpaksa bersembunyi beberapa hari untuk mengelakkan daripada ditangkap polis.

Peristiwa ini berlaku ekoran perkelahian di antara anak-anak Jawi dengan remaja Arab Makkah.

Sekembalinya Tuan Guru Yusof Rawa dari Makkah, beliau menerbitkan majalah Al-Islah. Di atas kegiatannya ini beliau ditahan oleh penjajah Inggeris yang mengesyaki beliau terbabit dengan gerakan Islah di Mesir.

Penglibatan dalam PAS

Tuan Guru Yusof Rawa mendaftar menjadi ahli seumur hidup pada awal penubuhan PAS iaitu pada tahun 1951.

Pada tahun 1959 beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.
Beliau kemudian dipilih untuk menduduki Jawatankuasa Pusat yang ketika itu didominasi oleh pemimpin-pemimpin dari Pantai Timur dan Kedah.

Sejak dari zaman Dr. Burhanuddin Al-Helmy lagi, Tuan Guru Yusof Rawa sudah pun dianggap sebagai salah seorang pemimpin kanan PAS.

Menjelang penghujung tahun 1970an, Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama dan Naib Yang Dipertua kedua adalah Ustaz Fadzil Noor.

Krisis kepimpinan dalam PAS menyaksikan Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Hassan Adli mengosongkan jawatannya. Tuan Guru Yusof Rawa mencabar Dato’ Abu Bakar Omar untuk jawatan tersebut tetapi kalah.

Pada tahun 1981, Tuan Guru Yusof Rawa bertanding sekali lagi untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS dan menang.

Pergolakan PAS pada tahun 1982 telah memaksa Dato’ Mohd Asri Muda meletakkan jawatan.

Jawatan Yang Dipertua PAS telah dipangku oleh Tuan Guru Yusof Rawa.
Dalam Muktamar PAS ke-29 pada tahun 1983, Tuan Guru Yusof Rawa telah sebulat suara dilantik Yang Dipertua PAS.

Apabila Majlis Syura Ulama’ diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS, Tuan Guru Yusof Rawa telah dipilih sebagai Mursyidul Am yang pertama pada tahun 1987.

Di atas sebab-sebab kesihatan, Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua pada tahun 1989 tetapi kekal memegang jawatan sebagai Mursyidul Am.

Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai Mursyidul Am pada tahun 1993.

Jawatan itu dipegang seterusnya oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku Mursyidul Am PAS yang kedua.

Menangani Krisis Peralihan

Tuan Guru Yusof Rawa mengambil alih kepimpinan ketika PAS berhadapan bukan hanya dengan kemelut dalaman PAS tetapi juga dalam angkatan gerakan Islam.

Kemelut dalaman PAS berlaku apabila terpinggirnya Dato’ Asri dan angkatan pemimpin-pemimpin eranya. Ekoran itu berlaku pula tindakan dan ancaman terhadap PAS daripada penyokong-penyokong Dato’ Mohd Asri.

Kemelut dalaman di kalangan angkatan gerakan Islam pula berlaku apabila rakan kongsi perjuangan Islam, Anwar Ibrahim daripada ABIM membuat keputusan untuk menyertai UMNO.

Tuan Guru Yusof Rawa amat kecewa apabila Anwar Ibrahim mengambil keputusan menyertai UMNO. Dalam perbualan telefonnya dengan Anwar, Tuan Guru Yusof Rawa menyatakan: ”…tindakan anda itu umpama menikam kami dari belakang”

Dengan pendedahan dan pengalamannya yang luas, dimantapkan dengan sikap keterbukaan dan kesederhanaannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya menampung kemelut ini sehingga PAS berjaya ditempatkan dalam arus perdana perjuangan Islam di negara ini.

Pendekatan dan mesej perjuangan Islam yang dibawa oleh Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya menarik minat angkatan muda dan pencinta-pencinta perjuangan Islam menyertai PAS.

Dalam menangani era peralihan ini, Tuan Guru Yusof Rawa amat beruntung kerana dibantu oleh tokoh-tokoh besar seperti Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Hasan Shukri, Mustafa Ali dan tokoh-tokoh muda PAS yang lainnya.

Menangani Gejala Dalaman

Setelah melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua, Dato’ Mohd Asri Muda balik ke Kelantan dan mengadakan perjumpaan terbuka dengan penyokongnya mengecam pimpinan baru regu Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor.

Kumpulan ini mengancam untuk bertindak menggempur pimpinan baru PAS. Laporan yang diterima dari Kelantan melihat ancaman itu membahayakan perpaduan jamaah.
Demi menjaga keutuhan parti, Tuan Guru Yusof Rawa melalui mesyuarat Jawatankuasa Disiplin telah membuat satu keputusan yang amat berat sekali.

Keputusan tegas dan berani telah dibuat dengan Ustaz Hasan Shukri selaku Setiausaha Agung telah mengeluarkan surat kepada Dato’ Mohd Asri Muda yang menyebut:

”Jawatankuasa Disiplin parti menggantung keahlian saudara daripada menjadi ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mulai dari tarikh keputusan ini dibuat sehingga kepada masanya diberitahu kelak.

Dengan demikian maka terlucutlah segala hak keahlian saudara dalam PAS seperti yang disebutkan oleh Fasal 14(10(a) hingga (e) mula tarikh di atas, 9 Rabiul Akhir 1403/23 Januari 1983 hingga masanya diberitahu kelak”

Bersama-sama Dato’ Mohd Asri Muda yang dikenakan tindakan disiplin ialah 12 orang lagi yang mana ada di antaranya dipecat, digantung dan diberi amaran.

Sebahagian besar daripada mereka adalah ahli Jawatankuasa Agung.

Tindakan ini dikira sebagai tindakan paling berani yang diambil oleh gandingan kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil demi menyelamatkan parti daripada ancaman krisis.

Mengasaskan Kepimpinan Ulama’

Isu kepimpinan ulama’ timbul dalam PAS apabila krisis melanda PAS di bawah kepimpinan Dato’ Mohd Asri Muda, terutama pada tempoh terakhirnya.

Ia bermula dengan polimik apakah PAS parti Islam atau parti nasionalis?

Walaupun PAS tidak pernah berganjak bahawa ia adalah sebuah jamaah Islam, namun pandangan yang melihat PAS sebagai lebih kepada arah nasionalis amat berpengaruh pada era Dato’ Mohd Asri Muda.

Pertembungan pemikiran ini melemahkan daya tahan pimpinan angkatan Dato’ Mohd Asri Muda.

Ada yang berpandangan bahawa malang yang merundung PAS ialah kerana ia tidak dipimpin oleh ulama’.

Tidak pula dinafikan pengaruh daripada kepimpinan ulama’ dalam Revolusi Iran mempengaruhi suasana dalam PAS pada masa itu.

Kejayaan umat Islam meruntuhkan rejim zalim Shah Iran dilihat sebagai kejayaan cemerlang kepimpinan ulama’.

Dalam suasana inilah tampil tokoh besar dalam PAS seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan tokoh-tokoh pelapis seperti Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang.

Berlatarbelakang senario ini, Tuan Guru Yusof Rawa merintis jalan ke arah kepimpinan ulama’.

Sikap keterbukaan dalam gaya kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa telah menjadikan seluruh lapisan keahlian menerima dan terus memartabatkan kepimpinan ulama’ dalam PAS.

Dengan itu, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya memantapkan paksi perjuangan PAS sebagai parti politik Islam, gerakan dakwah dan harakah Islamiyyah melalui konsep kepimpinan ulama’.

Dilema Kepimpinan Ulama




Isu 'Kepimpinan Ulama' tidak pernah sejuk tiap kali berlangsungnya muktamar tahunan PAS. Malah isu ini juga nampaknya mudah menggoyahkan penyokong parti bila diusik oleh parti lawan. Soalnya haruskah PAS selama-lamanya diterajui oleh ulama, atau golongan yang berlatar belakangkan pendidikan agama semata-mata?

Baru-baru ini juga YB Husam Musa, yang terkenal dari sudut ketokohan dari sudut pentadbiran, gaya fikir dan politik, telah dicalonkan untuk bertanding di kerusi Presiden. Ia dilihat sebagai satu permintaan dari petugas parti, agar tokoh sebegini diangkat menerajui kepimpinan. Walaubagaimana pun, Husam menarik diri.

Di bawah merupakan satu pandangan yang dipetik dari laman blog Hasbie Muda http://hasbiemuda.wordpress.com/

1. Mohammed Badie adalah lulusan pengajian perubatan vateriner. Beliau kini dilantik sebagai Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, pertubuhan gerakan Islam paling berpengaruh di dunia.

2. Hassan Al Hudaybi, juga seorang Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin adalah lulusan undang-undang. Beliau dipilih menggantikan Mursyidul Am yang pertama iaitu Hassan Al Banna.

3. Di Indonesia, Presiden Parti Keadilan Sejahtera (PKS) iaitu Tifatul Sembiring adalah lulusan IT dan komputer. PKS adalah gerakan Islam terbesar di Indonesia yang terlibat dalam bidang politik.

4. Ismail Haniyeh, Perdana Menteri Palestin yang juga pimpinan utama Hamas adalah lulusan sastera Arab dari Universiti Islam Gaza.

5. Ada banyak lagi contoh yang menguatkan hujah bahawa peranan meneraju gerakan Islam bukanlah milik tokoh lulusan pengajian Islam semata-mata. Kriteria paling utama adalah nilai competency serta accountability. Sifat Al Qowwi dan Al Amin bukan hanya untuk memilih pemimpin tetapi dalam semua pekerjaan.

6. Saya faham benar mengapa ramai ahli-ahli dan para pimpinan PAS di Malaysia mendokong kuat konsep ‘Kepimpinan Ulama’ yang antara lain menetapkan bahawa jawatan utama parti mestilah dipegang oleh lulusan agama. Saya juga pendokong kuat konsep tersebut tetapi atas definisi yang sedikit berbeza.

7. Pelbagai masalah dalam era pentadbiran Datuk Asri Muda adalah ‘sakit’ PAS yang sangat kritikal pada era 70-an dan awal 80-an. Masalah itu diburukkan dengan musibah PAS diterajang oleh BN manakala Kelantan dirampas dengan cara yang penuh tipu helah. Ahli PAS yang asalnya mengkagumi Datuk Asri mulai membencinya.

8. Pelbagai usaha dibuat untuk menjatuhkan beliau, ramai pimpinan parti yang keluar tanda protes namun tetap gagal.

9. Penawar untuk ‘sakit’ itu adalah dengan menggagaskan konsep ‘Kepimpinan Ulama’.

10. Sebenarnya ramai tidak sedar bahawa Ustaz Yusuf Rawa adalah dari kelompok ahli perniagaan (profesional) by profession. Manakala Datuk Asri adalah guru agama (ulama’) by profession. Maknanya konsep kepimpinan ulama’ bukanlah bermaksud ulama’ semestinya menjadi Presiden parti.

11. Tetapi konsep ini adalah pada kewujudan Majlis Syura Ulama’ yang dipimpin oleh Mursyidul Am. Institusi ini diwujudkan sebagai badan semak dan imbang dalam pentadbiran parti. Perlunya semak dan imbang supaya dominasi dan penyalahgunaan kuasa tidak berulang.

12. Saya berdoa mudah-mudahan gerakan Islam di Malaysia ini akan terus dipelihara oleh Allah



Apakah perlaksanaan mengubah latar belakang pemimpin bakal membawa satu kebaikan besar buat PAS?