28 May 2010

ANTARA SABAR DAN MENGELUH


Pada zaman dahulu ada seorang yang bernama Abul Hassan yang pergi haji di Baitul Haram. Diwaktu tawaf tiba-tiba ia melihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.
"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu,tidak lain kerana itu pasti kerana tidak pernah risau dan bersedih hati."
Tiba-tiba wanita itu mendengar ucapan Abul Hassan lalu ia bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku ? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan seorang pun yang menyekutuinya aku dalam hal ini."

Abu Hassan bertanya, "Bagaimana hal yang merisaukanmu ?"
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan pada aku mempunyai dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang satu masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk membuat makanan, tiba-tiba anakku yang agak besar berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing ?"
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar dan lari ke bukit yang mana di sana ia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara di antara mereka semua."

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu ?"
Wanita itu menjawab, "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan ia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeda. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Demikianlah cerita di atas, satu cerita yang dapat dijadikan tauladan di mana kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan harus dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah dalam setiap terkena musibah dan dugaan dari Allah. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi,:
" Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."

Begitu juga mengeluh. Perbuatan ini sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda,:
" Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya pula, " Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian dari wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita dijadikan sebagai hamba Tuhan yang sabar dalam menghadapi segala musibah.

24 May 2010

C.U.T.I = Cuti Untuk Tingkatkan Iman

Cuti semester kembali lagi. Bagi kebanyakan mahasiswa/i khususnya di IPTA seluruh negara, inilah masa yang ditunggu-tunggu kerana azab bebanan sepanjang semester akhirnya dapat ditamatkan. Tetapi, bagi sesetengah mahasiswa pula, cuti merupakan masa yang terbaik untuk mereka menambah pengalaman dengan melakukan kerja separuh masa. Ada yang jadi pengawal keselamatan, guru tuisyen, pelayan di kedai-kedai makan dan tak kurang juga yang pulang ke kampung mengerjakan kebun dan sawah bendang. Juga, bagi sekelompok mahasiswa lain, termasuk rakan-rakan saya, cuti ini termasuk dalam sesi pengajian mereka dengan penglibatan dalam Latihan Industri.



Justeru, CUTI boleh didefinisikan dengan pelbagai maksud. Semuanya akan bergantung kepada sejauh mana cuti itu hendak dimanfaatkan. Sememangnya pengertian cuti ini memang berbeza-beza bagi semua orang. Ada yang meletakkan cuti sebagai masa terbaik untuk mereka berehat. Maka, CUTI = REHAT. Ada pula yang merasakan cutilah masa yang terbaik untuk menambah duit poket dengan bekerja di mana-mana agensi atau kedai. Maka, pada mereka CUTI = KERJA+DUIT POKET. Apa pula pengertian cuti pada saya?



Pada saya, apa jua CUTI itu hendak ditafsirkan, ia perlu ditimbangkan terhadap sejauh mana manfaatnya kembali pada seseorang. Jika dalam Situasi A, beliau merupakan seorang mahasiwa yang sangat aktif di kampus. Memegang jawatan tertinggi dalam beberapa persatuan dan masih menjadi AJK dalam persatuan yang lain. Malah, di bawah kelolaannya berjaya membawa Perdana Menteri Malaysia masuk ke dalam kampus untuk merasmikan majlis beliau. Namun, bila cuti menjelma seolah-olah tiada langsung kaitan persatuan dengan dirinya. Tidak ada sikit pun masa yang diambil untuk memikirkan masa depan persatuannya. Maka, adakah manfaat terhadap persatuan beliau jika begitu?



Akhirnya, semuanya akan berbalik kepada individu itu sendiri. Pada saya, walau apa pun cara cuti tersebut dihabiskan, apa yang penting adalah sejauh mana pengisiannya. Jika disia-siakan begitu sahaja, maka rugilah cuti yang ada sebulan atau dua. Maka, formula terbaik yang saya boleh fikirkan bagi CUTI adalah



C.U.T.I = Cuti Untuk Tingkatkan Iman



Maka, formula ini mengajak semua pembaca khususnya mahasiswa untuk menggunakan cuti yang ada dengan meningkatkan lagi pengisian diri. Baru la bermanfaat. Apa yang perlu dibuat untuk tambah pengisian? Mudah saja. Segala apa yang tidak berjaya dilaksanakan semasa sesi pengajian dek kerana masa yang begitu menghimpit, maka lakukan pada masa cuti. Contoh:



1. Solat 5 waktu berjemaah di surau/masjid

2. Mendengar tazkirah atau kuliah-kuliah maghrib/subuh di masjid

3. Menambahkan bacaan al-Quran setiap hari dengan konsisten

4. Menambahkan pembacaan buku

5. Mendapatkan maklumat semasa MALAYSIA dan DUNIA melalui medium akhbar/berita dll

6. Menziarah jiran tetangga/saudara mara

7. Menghadiri seminar atau ceramah umum

8. Dan beribu-ribu lagi aktiviti yang anda boleh lakukan



Mudah kan? Bukankah ini antara perkara-perkara yang menjadi alasan kebanyakan kita pada sesi pengajian dek kerana kesempitan masa belajar dan menghadap buku akademik? Maka, gunakan masa cuti sebaiknya untuk menambah lagi sisi hidup anda dengan perkara-perkara yang sepatutnya. Gunakan masa yang ada sebagai persediaan untuk sesi pengajian yang seterusnya, bukan dibazirkan begitu saja dengan bermain, tidur, menonton TV 24 jam dan seumpamanya. Mahasiswa merupakan aset penting MALAYSIA dan DUNIA yang menuntut setiap masa yang ada untuk dimanfaatkan.



Selamat bercuti saya ucapkan kepada semua.

Jangan biarkan REHAT menghantui masa CUTI anda yang sangat berharga.



Sekian.


M.Waliyuddin Bahza

Sains Makanan & Pemakanan

UKM Bangi

10 May 2010

Nasihat Buat Para Aktivis Dakwah

Port tarbiyah MYTEAM zaman dolu2..

Tarbiyyah bukan untuk orang yang malas.
Dakwah bukan untuk orang yang takut nak bergerak dan mencabar diri.
Tarbiyyah bukan untuk orang yang cepat bosan, lari, lompat-lompat, sekejap down-sekejap up, cepat terasa.
Tarbiyyah bukan bagi orang yang memilih program untuk dia ikuti yang senang dan mudah join, yang penat, bersusah payah elak.

Bukan untuk orang yang mencari tarbiyyah hanya bila terasa diuji oleh tuhan. Kalau tak, batang hidung pun tak nampak.
Bukan bagi yang meletakkan dakwah hanya untuk mencari calon akhawat atau ikhwah sebagai sang isteri dan suami,
-yang join hanya untuk meminta tolong teman-teman pencerahan bila dia dalam kesusahan. Tapi kesenangan dan kelebihan yang dia dapat, tak share pun dengan orang lain.
-yang cepat mengalah,
-yang meletakkan mabit, qiamullail, daurah, dan tathqif dalam diari hanya selepas ditolak dengan semua agenda dan upacara-upacara penting’ yang lain.
-yang hanya pandai cakap (dan menulis), tapi amal kosong
-yang hanya tahu compare jamaah itu dengan jamaah ini, yang boleh mengkritik dan menilai harakah ini dan itu.

Dakwah bukan untuk orang yang ikut liqa’ hanya kerana nak disebut sebagai ahli dalam harakah ini dan itu, jamaah ini dan itu.
Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh diberi tugasan last minute. Dakwah bukanlah untuk orang yang tak nak keluarkan duit, infaq di jalan Allah.
Dakwah bukan untuk orang yang tak boleh sesekali tidur lewat, terpaksa berjalan jauh.
Dakwah bukan bagi orang yang kalau ada program untuk ikut terlibat, mesti naik motokar besar dan mewah, yang air-cond, dan laju. Yang tak nak naik bas, public transport, dan yang kena berpeluh-peluh.

Tarbiyah bukan untuk orang yang kena contact dan info dia setiap masa tentang perkembangan terkini sedangkan dia kena macam boss, hanya tunggu information.
Pencerahan bukan bagi mereka yang hanya nak berkawan dengan orang berduit dan berharta, yang hidup mewah, dan mengelak berkawan dengan orang susah, miskin, dan pakai comot.

Dakwah bukanlah untuk orang yang setiap masa dan ketika, kerja nak beri alasan ini dan itu. Penat, mengantuk, susah, banyak kerja, keluarga tak bagi keluar.
Tarbiyyah bukanlah segala-galanya. Tapi segala-galanya bermula dengan tarbiyyah. Tanpa anda, orang yang sering beralasan ini, dakwah akan terus berjalan. Islam akan tetap berjaya. Ummah akan tetap terpelihara.
Cuma tanpa pencerahan, Tanpa tarbiyyah, Tanpa dakwah Belum tentu kita akan berjaya di mahsyar nanti.
Tak mengapa. Teruskan hidup anda seperti biasa. Dakwah tak memerlukan anda. Tiada siapa pun yang rugi tanpa kehadiran anda.
Berbahagialah seadanya.

Saya menghitung diri. Terlalu kerap menuturkan. “saya busy..saya sibuk..saya penat..saya letih..”
Adakah ini petandanya saya terlalu manja?
Ya Allah, tabahkan hamba-Mu. “amanah ini bukan hak milik, tp anugerah dr Nya”

Sumber: AFN

4 May 2010

Isteri Perkasa


Saat bunga yang lain menyelimutkan anak dan suami di rumah, bunga ini merencana agenda ummah


Mereka mahukan muslimat perkasa
Yang mampu berdikari
Yang mampu bercakap di tengah demonstrasi
Yang lantang bersuara memberi pandangan
Yang mampu mempertahankan hak dan perjuangan


Cuma dia rasa seperti mahu bertanya


Mahukah mereka pada isteri perkasa?
Yang dirindu di tengah malam
Tapi siang tak kunjung pulang
Yang acapkali terkena sejuknya angin malam
Kadang-kadang panas terik dan juga hujan
Terpaksa bersaing dengan pelbagai kenderaan
Yang selalu memberi pandangan atau kritikan


Namun dia berserah dan cuba
Untuk tidak ambil kisah
Baginya dia mahu jadi seperti saidatina Fatimah
Kuat hatinya seperti Nusaybah
Penuh keibuan seperti saidatina Khadijah
Cerdik aqalnya sepeti saidatina Aishah
Agung cintanya seperti Rabiatul Adawiyah


Dan dia tak boleh duduk diam di dunia sekarang
Kerna musuh itu sedang menyerang
Sister in Islam, Secularisme, Pluralisme
Jadi dia perlu terus bergerak
Mempertahankan Islam dan kebenaran
Membantu para muslimin di medan juang
Walau kadang dia bertanya
Perlukah sebagai muslimat, isteri, ibu
Untuk terus berdiri di medan perjuangan?


Apapun dia sentiasa katakan pada diri
Bahawa hidup ini hanya untuk Tuhan
Manusia itu hanya sandaran
Jadi biarlah Tuhan yang menentukan
Cuma dia ada satu soalan untuk para pejuang
Jika mahukan muslimat perkasa,
Bersediakah menerima isteri perkasa?


@Busyral Huda