Nampaknya, di sebalik slogan kebebasan media yang dipertahankan oleh Barat, sikap berat sebelah serta kewartawanan beragenda membumbui laporan dan liputan pilihan raya presiden Iran. Malah sebelum tarikh pengundian lagi, mereka telah mengandaikan Presiden Mahmoud Ahmadenejad bakal gagal mempertahankan jawatannya.
Misalnya majalah Newsweek edisi 15 Jun 2009, menyiarkan analisis bertajuk 'Why Iran's President May Lose' (Mengapa Presiden Iran Mungkin Tewas).
Kini di sebalik kemenangan Ahmadnejad, dakwaan penipuan kiraan undi yang lebih menjurus kepada krisis dalaman negara berkenaan diperbesar-besarkan dan diberikan dimensi baru dengan tujuan menghasut penyokong calon yang tewas, Mir Hossein Mousavi, bagi mewujudkan keadaan paling tegang negara tersebut selepas Revolusi Islam Iran 1979.
Perbalahan dan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin parti politik Iran dan rakyat negara itu bukanlah sesuatu yang luar biasa dan pelik. Ia lumrah di mana-mana sekalipun termasuk di Amerika Syarikat, Great Britain dan negara-negara Barat yang lain.
Tetapi apabila media Amerika mengepalai kempen Barat dalam menghura-hurakan keadaan politik sesebuah negara dengan mempermodalkan persengketaan dalaman, maka ia mengesahkan lebih lanjut dasar suka cari fasal Washington terhadap negara-negara Islam sebagaimana yang dilakukan terhadap Afghanistan dan Iraq bagi pelbagai tujuan kepentingannya.
Walaupun pelbagai pihak dan negara (kebanyakannya sekutu Amerika) dan para ulama tertentu republik tersebut mendakwa merasa bimbang terhadap apa yang berlaku di Iran, pihak yang lebih masak dengan permainan Barat dan Amerika terus mengucapkan tahniah kepada Ahmadnejad.
Mereka termasuklah Setiausaha Agung Liga Arab, Amr Moussa; pemimpin Hezbollah Hassan Nasrallah; Presiden Iraq, Jalal Talabani dan pemipin radikal negara berkenaan Muqtada al-Sadr, kerajaan Hamas di Gaza serta pertubuhan Jihad Islam Palestin; Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari; Presiden Afghanistan, Hamid Karzai dan beberapa negara Islam lain serta beberapa negara bukan-Islam yang melihat pemimpin Washington sebagai 'syaitan bertopengkan manusia'. Pemimpin negara bukan Islam ini termasuklah Presiden Rusia, Dmitry Medvedev dan Pengerusi Majlis Tertinggi Rakyat Korea Utara, Kim Yong-nam.
Dalam perutusan tahniah masing-masing, mereka menyokong Ahmadnejad yang terus mengambil sikap anti-Israel, keengganan tunduk kepada tekanan Amerika dalam program nuklear serta ucapan-ucapan keras beliau terhadap Barat termasuk menafikan peristiwa Holocaust yang dikatakan dicipta oleh Israel untuk menagih simpati dunia.
Justeru, tidak hairanlah sekiranya Amerika dan Barat mahukan Mousavi yang dilihat sebagai sanggup berkompromi dengan Barat termasuk dalam soal program nuklear dengan melahirkan idea pembentukan sebuah konsortium Barat bagi memantau proses pengkayaan bahan uranium di Iran serta kesanggupan mengadakan dialog yang lebih terbuka dengan Amerika dan sekutu-sekutunya.
Ketegangan pilihan raya boleh berlaku di mana-mana tetapi keadaannya sudah tentu tidak akan menjadi lebih buruk dan tegang tanpa campur tangan media Barat dalam usaha mencapai agenda mereka terhadap sesebuah negara. - mks. _
Sumber: Harakahdaily
0 comments:
Post a Comment