15 October 2007

Menangis.... : sensitif atau lembik?

Oleh Salina Abdullah

JARANG-JARANG rasanya dapat melihat lelaki menitiskan air mata tetapi hakikatnya, mereka juga menangis. Mungkin ramai lelaki, yang egonya keterlaluan, menafikannya kenyataan ini tetapi usahlah membuang masa, sudah terang lagi mahu bersuluh, lelaki juga menangis! Ramai lelaki tidak mahu mengakui yang hati mereka mudah tersentuh, mata mudah bergenang, senang terasa sebak lalu menitiskan air mata kerana kononnya lelaki yang menangis, tidak macho (tidak jantan). Relevankah?

Cuba kita perhatikan sekeliling, tidak perlu jauh, perhatikan bapa atau datuk, abang juga adik lelaki, paling tidak teman lelaki atau suami, betapa mudah juga mereka berasa sebak, menitiskan air mata, petanda mereka juga manusia biasa, tiada yang luar biasa, ada emosi, punya rasa.

"Lelaki yang kata mereka tidak menangis kerana kononnya kalau menangis tidak macho, pada saya mereka 'bodoh'. Hal emosi, suka, gembira, duka, apatah lagi menangis tiada kena-mengena dengan soal macho, kejantanan atau kelakian. "Lelaki juga ada hak dan berhak menangis. Ia membabitkan hal keperimanusiaan, soal hati dan perasaan, tidak kira yang gembira atau menyedihkan," kata Azhar Khairuddin, 46. Azhar yang bertugas sebagai Pengarah Urusan mengakui dia seorang lelaki yang amat mudah menitiskan air mata.

Hal membabitkan kanak-kanak juga orang tua amat mudah membuat hatinya tersentuh dan tanpa disedari air mata menitis membasahi pipi. Bagi Azhar, sifatnya itu bukan sesuatu yang memalukan malah dia bangga berperasaan begitu kerana ia menandakan ia seorang manusia yang sensitif dan berhati perut. "Kisah kanak-kanak didera dan orang tua yang dihantar ke pusat penjagaan orang tua paling mudah membuat saya sebak. Saya sering bertanya pada diri sendiri, manusia bagaimana yang sanggup menganiaya dan mendera kanak-kanak begitu kejam dan anak bagaimana yang sanggup menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua. "Pada saya, jawapan mahukan ibu bapa mendapat penjagaan lebih baik di rumah orang tua langsung tidak boleh diterima. Kita sebagai anak bertanggungjawab menjaga ibu bapa sampai bila-bila sebagaimana ibu bapa menjaga kita kala senang mahupun susah," katanya yang pernah 'memukul' adiknya gara-gara meninggikan sedikit suara ketika bercakap dengan ibu satu ketika dulu.

Selain isu kanak-kanak dan orang tua, Azhar yang pernah mengetuai misi bantuan kemanusiaan di Afghanistan beberapa tahun lalu, juga mudah tersentuh dalam perkara berkaitan semangat patriotisme. Penulis yang juga mengikuti misi berkenaan bersama Azhar, menyaksikan 'kelembutan' hati beliau dengan mata kepala sendiri. Dalam semangat berkobar menyanyikan lagu Negaraku, air matanya meleleh membasahi pipi. Satu perkara yang lebih menggelikan hati mengenai Azhar, dia juga tidak boleh mendengar apatah lagi menyanyikan lagu raya bertajuk Satu hari di Hari Raya nyanyian M Nasir. "Terutama liriknya yang berbunyi ; Ku lihat wajah suci ibuku, Ku lihat wajah kasih ayahku, Ku gembira, Mungkin inilah dia kebahagiaan, ia benar-benar menyentuh hati saya," katanya yang juga menitiskan air mata tiap kali takbir raya bergema.

Jurutera, Rashdan Rosli, 37, juga seperti Azhar. Tidak langsung terfikir kelelakiannya tercabar hanya kerana tidak lokek menitiskan air mata. Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang sensitif, Rashdan bukan saja menangis ketika sedih malah saat gembira juga mampu membuatkan beliau menitiskan air mata. "Saya menangis sedih paling teruk ketika datuk meninggal dunia pada 1997 dulu. Saya amat rapat dengannya dan pemergiannya membuatkan saya rasa kehilangan sesuatu yang amat berharga. "Saya juga menangis gembira ketika lulus ujian kejuruteraan dulu. Terlalu gembira. Kesimpulannya, tidak bermakna apabila lelaki menangis, lelaki itu tak kuat, tak 'jantan', tak macho, cuma hati tersentuh dengan sesuatu kejadian," katanya yang mudah menitiskan air melihat kanak-kanak dianiaya dan didera.

Nyata Azhar dan Rashdan manusia normal. Jika melihat pada penjelasan pakar psikiatri University of Minnesota, Dr William Frey seperti dipetik daripada Wikipedia. Katanya, dalam soal menangis, tiada beza antara lelaki dan wanita. Lelaki dan wanita mengalami tekanan emosi yang serupa dan lelaki seperti wanita juga berhak untuk menangis supaya jiwanya tidak tertekan. Cuma, katanya, lelaki sengaja menahan air matanya supaya tampak perkasa dan jantan. Ia berkaitan dengan cara didikan. Lelaki diajar tidak boleh menangis, mereka harus menahan rasa sedih dan menitiskan air mata. "Kalau perempuan menangis, ia perkara biasa. Anggapan ini semua hanyalah satu budaya, yang diamalkan turun-temurun. Hakikatnya, lelaki juga menangis apabila berlaku sesuatu yang menyentuh hati mereka. Malah, dalam keadaan tertentu, mereka boleh menangis tersedu-sedu seperti anak kecil," katanya.

Oleh itu, lelaki, jejaka sekalian, jangan takut untuk menangis. Ia perkara yang perlu dilakukan. Buat apa menahan sedih hingga terasa sebak di dada. takut dianggap lembik, tidak macho oleh wanita? Jangan! Itu tindakan dan andaian yang salah.

INFO: Menangis
Menangis adalah satu akitiviti normal manusia. Tidak kira anda lelaki atau wanita, kedua-duanya mempunyai hak yang sama untuk berasa sedih hingga menitiskan air mata. Ada bermacam-macam jenis `menangis dan semuanya mempunyai kaitan dengan faktor psikologi, kimia dan komposisi hormon. Mata juga boleh bergenang, berair dan merembeskan air mata ketika memotong bawang umpamanya; air mata meleleh ketika mengalami saat sukar atau sekadar mengimbas kembali kenangan dan pengalaman pahit. Air mata yang bergenang adakalanya diikuti dengan tangisan yang lebih kuat hingga tersedu-sedu seperti kanak-kanak. Kajian menunjukkan ramai yang tertekan berasa lega selepas menangis begini. Inilah yang dikatakan 'tangisan yang berkesan', memberi kesan yang baik pada emosi seseorang sebagaimana ketawa.

Sumber: http://www.emotionalprocessing.org.uk/


So,menangislah! Tatkala suka, sedih, syahdu, terharu, syukur, dan saat merasakan diri sangat kerdil,lemah, hina dan berdosa pada pandangan-Nya!!!

1 comments:

Kalau melihat pada sejarah Islam, Umar Al-Khatab yg gagah pon menangis. Tiap kali usai solat, dia akan menyendiri di suatu sudut. Tgk2, die menangis kerana TERKENANGKAN DOSANYA yg silam.

Bagi syi, tak berapa selesa tgk lelaki menangis. Tgk pd situasi lah, kalau kematian ibu bapa, kire normal lah.

Tapi lelaki yg MUDAH MENANGIS syi kira sebgai lembek. Hm, aku yg pompuan ni pon nk nanges segan.

Hanya satu yg paling wajar untuk ditangiskan. Iaitu pabila menghadap Allah, hina diri depanNya, kenang dosa2 kita.

peace, no war..